Salahkah jika seseorang merasa takut miskin ?

Orang yang Takut Miskin
Takut miskin adalah sifat semulajadi manusia. Tidak salah jika kita merasa takut jatuh miskin, lalu kita menyusun pelan tindakan untuk memastika ia tidak terjadi.

Yang salah adalah apabila perasaan takut miskin mendorong diri melakukan perkara yang diharamkan seperti pecah amanah, kedekut keterlaluan , enggan membayar zakat dan sebagainya. Perasaaan ini telah terkeluar daripada had normal kepada had yang diharamkan oleh syariat.

Takut miskin yang berlebihan ini merupakan satu bisikan syaitan. Allah berfirman: “Syaitan menjanjikan kepadamu kefakiran dan menyuruh perbuatan yang keji ( kebakhilan ).” (Surah al-Baqarah: 268)

“Tiada senjata yang lebih ampuh bagi syaitan melainkan perasaan takut miskin. Apabila perasaan ini memasuki hati seseorang, ia akan menahan hak, bercakap mengikut hawa nafsu dan bersangka buruk kepada Tuhan.” – Sufyan al – Thauri

Takut miskin yang melampau akan membuat kita hidup seperti orang fakir mestipun memiliki banyak wang. Setiap kali hendak berbelanja untuk perkara yang diperlukan, ketakutan itu menahan kita untuk mengeluarkan belanja.

“ Orang yang takut fakir, hidup dalam kefakiran. Orang yang takut hina, hidup dalam kehinaan.” -Syeikh Muhammad al – Ghazali

Bertawakallah kepada Allah. Belanjakan apa yang perlu dibelanjakan kerana Allah akan menggantinya. Dan ingatlah, kefakiran yang sebenar adalah apabila iman tidak lagi tersemat di hati.

Sehubungan dengan itu jangan takut jika wang anda sedikit dan anda kedudukan rendah. Hal ini demikian kerana Saidina Ali bin Ali Talib pernah berkata: “ Nilai setiap orang ialah kebaikan yang telah dilakukannya.”

petua hapus kemiskinan dari al-quran
Nilai orang berilmu adalah ilmu, adakah ilmu itu terhad atau luas. Nilai seorang pujanggga adalah puisinya, adakah bernilai atau tidak. Setiap orang mempunyai bakat atau kerjaya, pada pandangan masyarakat, nilai mereka adalah bakat dan kerjayanya itu.

Oleh sebab itu, kita dituntut untuk mengangkat nilai dan harga diri dengan beramal soleh, meningkatkan keilmuan dan kebijaksanaan, memerah kemampuan fikiran dan membiasakan diri untuk melakukan kemuliaan supaya sahsiah semakin bercahaya. Matlamat dari semuanya itu adalah supaya nilai dirinya semakin mahal dan terangkat.

“NIlai setiap orang ialah kebaikan yang telah dilakukannya.”

Dengan kata lain, apa telah dilakukan, maka itulah yang memberi nilai, bukan apa yang diangan dan diimpikan oleh seseorang. Dengan itu takut kepada kemiskinan akan terhapus dengan sendiri.