Tidak dinafikan, ramai yang ingin wang tambahan dalam gaya hidup yang menekankan hari ini. Antara cara menjana pendapatan tambahan ialah memulakan perniagaan sambilan. Namun, ia tidak semudah yang disangka bagi mereka yang belum menjalankan perniagaan.
Sememangnya sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan. Tetapi masalahnya, sembilan daripada 10 perniagaan gagal. Kebanyakannya gagal pada tahun pertama saja. Hendak memulakan perniagaan memang mudah tetapi susahnya menjalankan perniagaan yang berjaya.
Ketika menjalankan seminar dan kursus perniagaan serata Malaysia, soalan yang sering ditanya, apakah perniagaan yang terbaik? Jawapan saya, “Apakah minat anda?”
Dalam memulakan perniagaan, sebaiknya ia mengikut minat, kebolehan atau kepakaran yang ada pada diri sendiri. Kebanyakan perniagaan yang gagal kerana menjalankan perniagaan yang tidak diminati. Selalu saya dengar usahawan mengadu selepas gagal berniaga baru sebulan dua kerana memulakan perniagaan sebab “ikut kawan”, “perlukan wang sangat” atau “saja nak cuba”.






