Kejayaan Sebenar

Salam sejahtera…

Kejayaan dalam bentuk kekayaan yang melimpah tidak melambangkan kejayaan. Saya sering menekankan bahawa kita cenderung menggunakan alat pengukur yang keliru dalam menilai kejayaan hidup, dalam menilai kejayaan yang sebenarnya di kalangan manusia.

Wang dan kekuasaan adalah hal-hal sementara di dalam kehidupan dan kadang-kadang  tidak digunakan demi keuntungan umat manusia.

Kejayaan sebenarnya hanya ditemui pada hati lelaki dan wanita tidak kira kaya mahupun miskin, yang mengabdikan dirinya untuk berbuat baik, untuk membuat dunia menjadi tempat yang lebih layak untuk dihuni, tanpa kekacauan, kecuali semata-mata kehangatan hati dan pertumbuhan modal insan. Kejayaan bukanlah pameran diri di depan masyarakat, melaiankan perkhidmatan terhadap orang lain dalam masyarakat.

Sekian sahaja untuk kali ini.

Mengenal Diri

Salam Sejahtera…

Tuhan mencipta manusia dengan penuh kesempurnaan dan sebaik-baik kejadian. Setiap manusia pula dibekalkan dengan kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Anugerah Tuhan ini sebenarnya boleh dijadikan asas untuk kecemerlangan diri.

Manusia juga mempunyai beberapa kelemahan yang boleh diatasi melalui perubahan sikap dan pemikiran. Malangnya ramai daripada manusia tidak menggunakan akal fikiran untuk melakukan sesuatu atau untuk mencapai kecemerlangan. Bagaimana kita dapat melakukan sesuatu yang berkesan tanpa berfikir ? Tindakan, perasaan, perlakuan malah kebolehan kita adalah dipengaruhi oleh cara kita melihat dan mentafsirkan diri kita.

Terdapat manusia yang tidak mempunyai kemahiran sepanjang hayatnya kerana gagal atau tidak mempunyai  kemahuan untuk mahir dalam satu-satu bidang. Perkara yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang adalah bergantung kepada tahap mengenali diri sendiri. Orang yang berjaya biasanya terdiri daripada orang yang benar-benar telah memahami dan mengenali diri sendiri. Selagi kita tidak jelas dengan diri sendiri jangan harap kita akan bersedia untuk berubah.

Sekian sahaja untuk kali ini…

Merancang Perjalanan Anda

Salam Sejahtera…

Anda perlu mengatur perjalanan kehidupan anda dengan begitu teratur sekali. Ini adalah perjalanan yang paling penting dalam hidup anda dan sudah tentu anda mahu merancang perjalanan atau merancang proses menuju matlamat hidup anda dengan cara saintifik.

Disini saya cuba berikan satu analogi, jika anda hendak mengubah diri anda untuk menjadi lebih baik. Bayangkan sekarang anda adalah seorang arkitek. Apakah langkah yang perlu diambil oleh seseorang arkitek untuk membina semula sebuah bangunan ? :

  1. Menentukan apakah yang ingin anda capai.
  2. Memikirkan perkara-perkara ingin anda capai.
  3. Memikirkan perkara-perkara yang ingin dialih daripada bangunan itu supaya anda dapat melaksanakan rancangan untuk pembinaan semula.
  4. Anda perlu memusnahkan sesuatu sebelum anda mula membina semula bangunan baru.

Cuba kaitkan proses diatas dengan rancangan yang anda ikuti di dalam membina semula kehidupan anda. Anda akan membuat keputusan apakah yang anda tidak ingin sebelum menentukan apakah yang anda mahu. Seterusnya, menulis rancangan anda di atas sehelai kertas supaya anda dapat mengkaji dan menyempurnakannya.

Sekian sahaja untuk kali ini.