Panduan Memilih Bakal Isteri

Salam Sejahtera…

Kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca blog ini, tentang panduan memilih bakal isteri yang saya petik dari kitab Ihya’ Ulumuddin. Semoga perkongsian ini mampu memberi panduan kepada golongan lelaki muslim ( termasuk saya sendiri ) tentang ciri wanita yang akan dikahwini mengikut perspektif Islam. Terdapat lapan perkara, walaubagaimanapun untuk kali ini saya hanya berkongsi 4 sahaja dan selebihnya akan dikongsi pada entry yang akan datang.

  1. Agama
  2. Budi Pekerti
  3. Kecantikan
  4. Ringan Mas Kahwin (mahar)nya.

Pertama: Hendaklah wanita itu seorang yang solehah dan kuat agamanya. Ini merupakan asas yang utama sekali dan inilah yang mesti diperhatikan dan diteliti. Oleh sebab itu Rasulullah menganjurkan apabila kita hendak berkahwin, maka carilah yang benar-benar kuat agamanya. Ini benar-benar ditekankan sebagaimana sabdanya:

“ Wanita itu dikahwini kerana empat perkara sebab hartanya, keturunannya, kecantikannya  dan agamanya. Hendaklah engkau mendapatkan yang   kuat agamanya, nescaya selamatlah kedua tanganmu”

(Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Kedua: Carilah wanita yang baik budi pekerti, sebab apabila isteri banyak bercakap, apalagi yang suka menutup nikmat dan kurniaan Allah. Maka sudah pastilah bahayanya akan lebih besar daripada manfaatnya. Salah satu ujian yang diberikan oleh  Allah kepada para kekasihnya ialah sabar dan tabah atas ucapan yang dkeluarkan oleh isteri-isterinya.

Ketiga: Carilah wanita yang cantik wajahnya. Memang demikianlah kehendak hati, biasanya tidak atau kurang merasa puas dan cukup dengan wajah yang kurang baik. Wajah yang cantik itu tidak dinafikan menjadi pendorong kearah perkahwinan, tetapi jika rosak agamanya, ianya akan melemahkan agama itu sendiri. Jadi anjuran untuk mengambil isteri yang cantik itu diertikan bahawa dengan kecantikan itu  biasanya akan diperolehi kerukunan hidup dan keserasian dalam rumahtangga serta saling cinta mencintai antara suami dan isteri.

Keempat: Hendaklah ringan mahar atau mas kahwinnya. Rasulullah sendiri melarang membebankan di dalam soal mas kahwin. Sebahagian sahabat ada yang berkahwin dengan memberikan mas kahwin sebutir emas yang harganya ditaksirkan hanya lima dirham sahaja.

Dalam sebuah hadith disebutkan sabda Rasulullah:

“ Salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat berkahwin dan cepat mengandung (yakni melahirkan anaknya ).”

( Diriwayatkan oleh Ahmad dan Baihaki )

Sebagaimana dimakruhkan mas kahwin yang tinggi bagi wanita, maka dimakruhkan pula bertanya harta milik wanita itu bagi lelaki yang hendak mengahwininya. Maka dari itu janganlah perkahwinan itu terjadi kerana tamak pada harta wanita tadi.

Sekian sahaja untuk kali ini…