Mengenal Diri

Salam Sejahtera…

Tuhan mencipta manusia dengan penuh kesempurnaan dan sebaik-baik kejadian. Setiap manusia pula dibekalkan dengan kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Anugerah Tuhan ini sebenarnya boleh dijadikan asas untuk kecemerlangan diri.

Manusia juga mempunyai beberapa kelemahan yang boleh diatasi melalui perubahan sikap dan pemikiran. Malangnya ramai daripada manusia tidak menggunakan akal fikiran untuk melakukan sesuatu atau untuk mencapai kecemerlangan. Bagaimana kita dapat melakukan sesuatu yang berkesan tanpa berfikir ? Tindakan, perasaan, perlakuan malah kebolehan kita adalah dipengaruhi oleh cara kita melihat dan mentafsirkan diri kita.

Terdapat manusia yang tidak mempunyai kemahiran sepanjang hayatnya kerana gagal atau tidak mempunyai  kemahuan untuk mahir dalam satu-satu bidang. Perkara yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang adalah bergantung kepada tahap mengenali diri sendiri. Orang yang berjaya biasanya terdiri daripada orang yang benar-benar telah memahami dan mengenali diri sendiri. Selagi kita tidak jelas dengan diri sendiri jangan harap kita akan bersedia untuk berubah.

Sekian sahaja untuk kali ini…

Berfikir Secara Kreatif

Salam sejahtera kepada saudara yang sudi melawat blog klinik motivasi dot com. Kali ini saya ingin berkongsi dengan saudara pembaca tentang berfikir secara kreatif. Apa kepentingan berfikir secara kreatif ? Sebenarnya terdapat banyak kepentingan berfikir secara kreatif terutama kepada seorang usahawan.

Berfikir dengan kreatif bermaksud berfikir dengan menggunakan gaya kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut. Gaya pemikiran ini juga menghasilkan pelbagai cara untuk melakukan sesuatu.

Apabila kita berfikir dengan menggunakan gaya kreatif, matlamat berfikir ialah untuk menerbitkan pelbagai persepsi, konsep, idea , cara menyelesaikan masalah, cara meleraikan konflik, strategi dan taktik, prosedur kerja, teori, hipotesis, peraturan dan hasil perundingan.

Bagi setiap perkara yang kita lihat, ada bermacam- macam cara lain untuk melihatnya. Bagi setiap cara untuk melakukan sesuatu, ada bermacam-macam cara lain untuk melakukannya. Perkara-perkara yang ditimbulkan apabila berfikir secara kreatif adalah:

  1. Cuba cari kaedah-kaedah lain untuk menerangkan perkara ini?
  2. Kita perlukan idea baru
  3. Ada atau tidak cara-cara lain?
  4. Cara ini belum dicuba lagi
  5. Ini idea lama. Tentu ada cara lain

Sekian dahulu perkongsian saya untuk kali ini. Selamat Beramal.

p/s: Diubahsuai daripada buku resipi istimewa untuk belajar.

Aku Pasti Akan Berjaya

Salam Sejahtera…

Untuk berfikiran positif dalam mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan, saudara perlu mengamalkan ungkapan seperti ‘Dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya’. Hal ini walaupun nampak seperti perkara yang remeh tetapi dengan menukarkan  ungkapan tersebut akan membawa perubahan yang besar dalam diri anda. Contohnya saudara menggantikan kata-kata yang tidak mempunyai pendirian seperti “Sudah cuba tetapi tidak berjaya.” dengan ungkapan “dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya”.

Lazimnya individu yang gagal adalah dalam kalangan mereka yang cepat putus asa. Mereka akan sentiasa mengulangi perkataan “sudah cuba tetapi gagal” kerana kata-kata sedemikian dijadikan sebagai “pendiding” untuk mengaburi mata orang lain bahawa kesalahan dan kegagalan tersebut bukanlah secara mutlaknya disebabkan oleh mereka. Mereka ini seolah-olah ingin menagih simpati daripada orang lain bahawa segala usaha telah dibuat tetapi mereka tetap gagal yang mana menunjukkan bahawa faktor kegagalanlah yang menyebabkan mereka kecundang.

Jelaslah bahawa orang yang gagal ini telah membuntukan fikiran dengan tidak mahu lagi mencari jalan untuk menangani masalah tersebut. Sepatutnya mereka mengubah kepada perkataan yang lebih positif yang boleh membangkitkan usaha untuk mencapai apa yang diimpikan iaitu ‘Dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya”. Hal ini bermakna seseorang perlu berusaha lebih bagi memastikan apa yang dihajati akan tercapai. Dalam istilah orang berjaya, mereka tidak cepat mengalah kerana mereka sentiasa mengenal pasti bahawa ada jalan lain yang boleh membantu mereka dalam menghadapi rintangan.

Sekian sahaja untuk kali ini…