Penggunting Rambut dan Tuhan

penggunting rambut
Satu hari seperti kebiasaannya, seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut dan janggutnya.

Beliau akan memulakan perbualan bersama – sama dengan si pengunting rambut yang melayannya. Mereka berbual mengenai banyak perkara.

Hari itu, mereka tiba – tiba menyentuh mengenai topik ketuhanan. Kata si penggunting rambut, “Cubalah lihat wahai sahabatku! Aku tidak percaya akan kewujudan tuhan seperti mana yang kau katakan.”

“ Mengapakah kau berkata begitu?” tanya si pelanggan.

“Oh, ia sangat mudah! Kau hanya perlu keluar dari sini dan kau akan sedar bahawa Tuhan tidak wujud. Beritahulah aku. Jika Tuhan itu wujud, mungkinkah ada ramai orang yang sakit? Mungkinkah ada kanak – kanak yang terbiar? Jika Tuhan itu wujud, mungkin tidak ada kesengsaraan mahupun keperitan hidup di mana – mana. Aku tidak dapat menerima bahawa Tuhan menginginkan semua ini terjadi.”

Pelanggan itu diam seketika untuk berfikir tetapi tidak membalasnya demi mengelakkan terjadinya pertelingkahan. Apabila si penggunting rambut menyelesaikan tugasnya, maka pelanggan itu pun melangkah keluar dari kedainya. Pelanggan itu ternampak seorang lelaki berambut panjang dan janggut yang tidak terurus di jalanan. Lelaki itu seolah – olah membiarkan janggut dan rambutnya tidak dipotong untuk jangka waktu yang lama hingga ia kelihatan tidak terurus.

Kemudian, pelanggan itu melangkah masuk ke dalam kedai gunting rambut itu semula dan berkata kepada si pengunting rambut. “Kau nak tahu? Tukang gunting rambut tidak wujud.”

“Mengapakah kau katakana bahawa mereka tidak wujud?” tanya si penggunting rambut kehairanan. “Bukankah aku ada di sini dan akulah penggunting rambut?”

“Tidak!” tingkah si pelanggan. “Mereka tidak wujud. Jika mereka ada, mungkin tidak ada seorang manusia pun yang berambut panjang dan berjanggut seperti lelaki di seberang jalan itu.”

“Oh, penggunting rambut memang wujud. Yang terjadi hanyalah orang tersebut tidak datang kepada kami,” jawab si penggunting rambut penuh yakin.

“Tepat sekali.” Pelanggan itu mengiyakan kata – kata si penggunting rambut sambil tersenyum. “Itulah inti patinya. Tuhan memang wujud. Apa – apa yang terjadi adalah kerana manusia tidak pergi kepada-Nya dan langsung tidak mencari –Nya.

Itulah punca mengapa banyak penderitaan dan kesengsaraan di dunia ini.”

Si penggunting rambut terpempan dan tidak berkata apa – apa setelah mendengar jawapan pelanggannya itu.
Kesenangan memang wujud. Begitu juga kebahagiaan dan kekayaan juga wujud. Cuma kita sebagai manusia yang sama ada tidak mencarinya atau masih belum berjaya dalam pencarian kita.

Menuding jari kepada pihak lain termasuklah Allah atas masalah – masalah yang kita hadapi amatlah mudah. Itulah yang dilakukan oleh sesetengah orang yang pendek akalnya.

Daripada dialog di atas, ternyatalah bahawa apa – apa jua musibah yang menimpa diri kita bukan disebabkan oleh kuasa – kuasa besar lain yang wujud, tetapi akibat kelemahan diri kita sendiri.

Jadi perbaikilah kelemahan. Insya- Allah, hidup kita akan dapat diperbaiki dengan syarat, kita yakin akan bantuan dan pertolongan Yang Maha Esa.

ps: Untuk mematahkan hujah orang ateis, kita perlu menggunakan hukum akal.