Pengakuan yang suami curang

suami-curang

Salam Sejahtera…

Saya ada terbaca tentang kisah benar rumah tangga dalam akhbar online. Kisah ini wajar dijadikan pedoman buat para isteri yang merasa cukup bahagia dengan layanan romantis suami. Usah terlalu merasa bahagia, jika anda sendiri belum mempercukupkan diri untuk si dia. Selama ini, dia tidak menyangka sungai rumah tangganya yang beralun lembut, aman damai, tenang di permukaan telah bergolak hebat di dasarnya, tanpa sedar…

Nilai bahagia itu terletak pada hati yang tenang.. – Hisyam Den

Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak ketawa ceria… malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.

Suami selalu membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup kesalahan…

Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta. Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya tembelang pun pecah.

“Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!”

Ya ALLAH… saya terduduk dengan pengakuan itu… kenapa janda? kenapa bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya… apa salah saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba menongkah tapi saya pantas menepis.

Tiada kekuatan untuk saya teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat sunat dan mengadu padaNYA.

Ya… Saya ingin mengadu… air mata saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya. Dia merangkul pinggang saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali.

Dia minta saya ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.

Ya ALLAH, sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan… S-aya ingin menetak suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh. Saya kuatkan hati untuk bertanya…

“Berapa kali?”

“Banyak…”

“Sejak bila?”

“Sejak Mah mengandung Adan…”

Ya ALLAH… enam tahun lalu… kini Adan dah ada dua adik…

“Tak kahwin?”

“Tidak… abang sayangkan Mah…”

“Sayang?”

“Ya…”

“Ini tanda sayang?”

Soalan saya terbiar tanpa jawapan…

Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya. Mata ini tidak berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam. Air mata tak mahu berhenti…

Minta terus terang

Saya minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya. Suami menggelengkan kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang saya mahu keluar dari rumahnya.

“Sepuluh tahun abang… sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah sendiri… abang tak bahagia dengan Mah… Abang cari lain-

“Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik… tak ada kurang satu pun… Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan abang…”

Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah bila saya terlelap langsung tak pasti.

Subuh lagi saya sudah bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia bangun seperti tiada apa-apa berlaku. Di hadapan anak-anak kami cuba berlagak biasa.

Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat ia hendak berlaku, saya palingkan muka. Saya tak mahu bibir yang pernah mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut lagi.

Surat jadi penyebab

Saya tutup pintu dan saya menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca. Saya tahu itu pengakuan suami. Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari kekuatan untuk membacanya.

Dan isi surat suami, betul-betul buat saya rasa tertampar. Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya menerima dan memaafkannya.

Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik… yang baik… dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa…

Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat… abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang semula. Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk putuskan hubungan.

Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang terkhilaf…

Mah…

Abang jenguk Mah di bilik anak. Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan. Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis. Mah tak sedar betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar telah buat cinta abang berpaling.

Sumpah Mah! Sumpah abang rasa bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah tak jaga keperluan batin abang.

Kita kenal sejak sekolah. Sejak Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping, tinggi, bermata galak dan menggoda. Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah biarkan kecantikan Mah hilang.

Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah busuk di sebalik tudung… kaki Mah bengkak dengan lemak… badan Mah berbau bila abang balik kerja. Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak bermaya.

Abang lemah tengok Mah lemah… Abang bagi Mah duit untuk Mah bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah tak gunakan untuk merapikan diri?

Mah abang tak pandang pakaian atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh dan wajah Mah.

Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu? Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita sama-sama belajar dan bekerja dulu?

Abang sungguh malu nak bercakap tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki rumah tangga kita, abang luahkan… dan Mah terimalah dengan lapang hati.

Mah… Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda. Dia menjaga setiap inci yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit.

Abang minta ampun. Abang menyesal… Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona. Abang rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup abang… abang tidak mampu menghalang.

Abang berdosa dengan Mah. Mah berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan. Ampunkan abang… abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala hukuman.

Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam… abang merayu Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya luar dan dalam… abang merayu..

 

Pesanan untuk suami pula saya petik dari blog genta rasa tulisan Ustaz Pahrul Mohammad Juoi. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. ”Apa guna, kita dah tua.” ”Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” ”Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

 

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.

”Tak berani poligami?”

Dia menggeleng kepala.

”Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.

”Ramai…”

Memang saya lihat pada usia awal 40’an dia tambah segak dan bergaya.

“Habis kenapa?”

Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

 

“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”

” Kau sudah berterus terang dengannya?”

“Tentang apa tentang poligami?”

“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”

“Aku takut melukakannya.”

“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.

Dia faham maksud saya.

”Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.

 

”Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”

”Lagi?”

”Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ’ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka – berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?.

”Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.

”Kita tak berhias?”

”Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.

”Salah bagaimana?”

”Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”

”Dalam makna kata-kata kau tu…”

”Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”

”Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”

 

”Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”

”Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”

”Kasih ke kasihan?” saya menguji.

”Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”

”Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”

”Maksud kau?”

”Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”

” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”

Saya diam.

”Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50’an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.

“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.

”Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”

”Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”

Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Di tahap begini tidak salah mengharap isteri yang masih cantik, tetapi yang lebih utama carilah di mana kecantikan isteri kita, yang selama ini telah puluhan tahun hidup senang dan susah bersama kita. Perjalanan kita semakin dekat ke alam akhirat. Sepatutnya, kita semakin menjadi pencari kecantikan yang sejati.  Seperti imam Safie … pada usianya mencapai 40 tahun sudah memakai tongkat. Ketika ditanya mengapa? Dia menyatakan bahawa telah nekad untuk melajukan lagi langkahnyamenuju akhirat. Malangnya, pada usia-usia begini ramai suami yang mula juga mencari tongkat… sayangnya, bukan ’tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!

ps: Layari website ni www.hisyamden.com untuk perlindungan kewangan keluarga anda 🙂