Motivasi Dan Nilai Diri

Tulisan kali ini saya letakkan nilai air mati kehampaan, pendustaan, kerapuhan dan penuh persoalan. Manakan tidaknya, sebagai manusia fitrahnya akan sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik yang menjadi tunjang ke arah satu kehidupan yang baik. Persoalannya adakah kita membina penghidupan yang baik? Kehidupan biasa mungkin hanya cukup sekadar makan, pakai, tidur, kerja dan pelbagai urusan lain. Tapi penghidupan yang memerlukan daya usaha yang lebih iaitu sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini.

Antara motivasi dan nilai diri mesti seiring. Jika lagu ia diibaratkan sebagai nada dan irama. Jika jari kita ibaratkan seperti isi dengan kuku. Jika badan kita ibaratkan ia seperti kulit dan daging. Keduanya saling bersangkutan. Dahulu, apabila ada orang bertanyakan saya tentang kenapa berhenti menulis buat seketika, jawabnya kerana saya diuji dengan apa yang saya tulis. Ya, atas asbab itulah saya berhenti menulis.

Bagi saya nilai diri seseorang bergantung terhadap penyerapan dan penghasilan ubat bernama “motivasi”. Tidak kira samada ia berbentu inside out atau outside in. Semuanya harus saling bergantungan. Sebagai umat islam, saya merasakan kita patut membinanya daripada luar ke dalam dan barulah kita dapat menghasilkan motivasi dalam ke luar. Ini yang dikatakan kitaran motivasi.

Kadang-kadang nilai diri kita lemah hasil daripada faktor persekitaran yang begitu menekan. Dalam apa jua bentuk samada datangnya daripada orang sekeliling ataupun banyaknya idea yang tidak tetap untuk kita pegang. Tahap nilai diri kita akan turut sama menurun akibat turunnya motivasi. Lantas, badan kita pula akan menzahirkannya. Lemah, kaku dan tidak bermaya.

Di saat itu, orang di sekeliling kita akan menyedari yang kita tidak lagi seperti biasa. Kita mengharapkan keteguhan khususnya daripada orang yang berada di sekeliling, namun tetap gagal. Kerana mereka pun tidak merasai apatah lagi untuk mengerti.

Bukan kita tidak mahu berubah

Saya percaya setiap manusia pastinya mengimpikan sebuah perubahan. Namun, apa yang membataskan mereka adalah acuan pemikiran mereka. Minda bawah sedar mereka memainkan stigma yang begitu negatif. Ia berbeza dengan orang yang memberi motivasi. Stigma minda mereka sentiasa positif. Apa yang perlu dilakukan bagi mereka yang mempunyai stigma positif ini adalah dengan membantu orang yang mempunyai stigma negatif  bukan mengikut cara mereka, tetapi mengikut pendekatan yang mampu stigma negatif lakukan.

“aku tidak boleh berubah kerana aku malas”
“aku bukan tak mahu buat tapi aku tak pandai”
“aku bukan tidak ada kesedaran tapi ia susah”

Mungkin bagi mereka yang mempunyai stigma positif akan merasakan alasan yang mereka berikan merupakan perkara atau masalah yang mudah dan boleh di atasi oleh mereka. Tapi bagi mereka yang mempunyai stigma negatif ia adalah terlalu sukar. Mereka seharusnya memahami orang lain atau apa yang disebutkan “memasukkan kaki ke dalam kasut seseorang, baru lah terasa bagaimana keadaannya”.

Berubah adalah bergantung pada tahap manusia mencarinya serta rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hambaNya.

“Dan kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang memberikan hidayah dan pertunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh pertunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang memberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”
(Surah Al-A’raf ayat 43)

Memupuk Nilai Sayang Dalam Diri

Antara cabaran kita pada zaman yang bersifat sendiri atau berseorangan “nafsi-nafsi” adalah suasana di mana sukarnya memupuk nilai sayang dalam diri. Sayang terhadap diri sendiri, orang lain, kaum keluarga, sahabat adalah bermula dengan mujuhadah. Nilai sayang pada ummah dan masyarakat adalah dengan mengajak mereka agar sama-sama menyayangi diri dengan melakukan kebaikan diiring dengan pencegahan terhadap perkara yang munkar.

Justeru, tanda sayangkan diri adalah dengan adanya rasa khauf dalam diri dari melakukan kemungkaran kerana dibimbangi kelak diri mendapat balasan daripada apa yang dilakukan samada kepada diri sendiri juga melibatkan orang lain. Samada balasan tersebut berlansung di dunia mahupun di akhirat kelak.

Bayangkan, terlalu sukarnya hidup tanpa kasih dan sayang. Dengan kasih sayang akan wujud lah bahagia. Orang yang kehilangan kasih sayang akan merasakan diri mereka jauh terjunam dalam lembah kebinasaan. Jika kita meletakkan nilai sayang, maka rasa marah kita akan reda. Jika kita ditolak akibat mengajak masyarakat ke arah kebaikan. Kita tidak akan marah. Itu hebatnya nilai kasih dan sayang.

Nabi Muhammad s.a.w apabila berdakwah ke Thaif, dilempar dengan batu. Namun, apabila malaikat menawarkan hempakan gunung kepada penduduk Thaif, dengan rasa kasih dan sayang Rasulullah memaafkan mereka dengan seribu pengharapan. Jika mereka tidak mahu beriman, mungkin anak cucu mereka akan menerima dakwah baginda. Ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu meng-Esakan Allah SWT dan mengakui kerasulan baginda dengan kalimah tauhid Lailaha Illah Muhammadur Rasulullah.

 

Nilai Diri Terhadap Kesusahan

Hidup ini adalah medan ujian. Jangan di minta diringankan ujian tapi mintalah agar hati itu yang tabah. Diberatkan iman agar ujian yang berat terasa ringan. Usah di minta hidup yang senang kerana hidup ini tidak pernah mudah. Hakikat kehidupan itu jalannya sentiasa ada halangan. Mohonlah pada Allah, kerana hati itu milik Allah. Tiada mustahil bagi Allah. Tatkala doa dipanjatkan, hati itu boleh berubah dengan izinNya. Maka pintalah hati yang sentiasa tabah dan redha dalam mencari jalan penyelesaian. Ambil masa, jangan cepat melatah. Kadang-kadang bukan kita tidak mahu, tapi kurang mampu. Allah itu dekat dengan kita, mintalah kepadaNYA.

Teringat  kata-kata Dr. Ustaz Tariq Ramadan

“Apabila saya berpura-pura menjadi kuat, tiada siapa yang melihat air mata yang tersembunyi saya melainkan Allah. Apabila saya sedih dan perlu bahu untuk menangis di atasnya, tiada siapa yang menyokong saya tetapi Allah. Menyenangkan hati manusia adalah sangat susah, menyenangkan Allah adalah yang paling mudah. Kadangkala manusia menghukum saya untuk kesilapan yang tidak saya lakukan, Namun Allah mengabaikan dan memaafkan atas apa yang telah saya lakukan. Dialah Allah, Yang Maha Besar Maha Kuasa, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, dan segala puji hanya pada Allah.”

Kesimpulannya

Hargailah diri sendiri. Siapa lagi yang akan lebih menghargai diri  kalau bukan diri kita sendiri. Motivasikan lah diri dengan janji-janji Allah SWT. Sesungguhnya janji Allah tidak sedikitpun ada pendustaan melainkan hanya kebenaran semata-mata. Apabila diri termotivasi dengan ayat-ayat Allah, pastinya nilai diri akan turut termotivasi seterusnya akan memberi motivasi kepada orang lain yang berada di sekeliling kita.

Pada saat kita memberi penghargaan kepada diri dengan sisipan motivasi yang membawa perubahan kepada diri, secara tidak sedar kita juga sebenarnya telah memupuk nilai sayang dalam diri kita. Memberikan diri kita yang terbaik seterusnya menyebarkan aura kebaikan itu kepada insan-insan di sekeliling kita. Mereka itulah insan-insan yang sentiasa dekat di hati kita. Insan yang kita sayangi sebagai ummat nabi Muhammad SAW. Kerana kita ummat baginda lah, maka rasa sayang itu membawa hati kita lebih cenderung kepada berkasih sayang.

Lantas, tatkala kasih sayang semakin mengairi taman persaudaraan kita – diri dan orang sekeliling, pastinya akan wujudnya kekuatan dalam nilai diri. Rasa termotivasi dengan adanya insan-insan di sekeliling. Rasa kuat dengan adanya jalinan kasih sayang sesama kita. Maka, semuanya bermula dari diri kita!

Di mana ada kemahuan untuk berubah, segalanya pasti akan berubah. Bi iznillah, InsyaAllah.

Sumber: www.maknakata.com