Mengubah Kegagalan
Apa yang membezakan manusia yang berjaya daripada manusia yang gagal dalam melakukan sesuatu aktiviti seperti pendidikan dan perniagaan adalah bagaimana mereka bertindak balas pada kegagalan. Oleh itu, tindak balas yang mereka lakukan pada kegagalan itu memberikan perbezaan yang besar dalam kehidupan mereka. Ada dua kaedah atau cara manusia bertindak balas pada kegagalan.
Apa yang manusia lakukan apabila mereka tidak dapat apa yang mereka mahu? Mereka mula memberikan pelbagai alasan kepada diri sendiri dan menyalahkan orang lain serta menyalahkan keadaan. Mereka mengeluarkan kata-kata seperti berikut, “ Saya kurang berbakat dalam perniagaan ”.
Mereka kecewa dan tidak berupaya. Mereka berhenti bertindak dan berputus asa. Mereka merasakan mereka tidak mampu mencapai matlamat mereka dan oleh sebab itu, mereka terus hidup seperti sebelumnya. Mereka inilah orang-orang yang selalu berkata, “ Saya sudah mencubanya, tetapi ia tidak berjaya!” Adakah anda mengenali sesiapa yang sering mengeluarkan kata-kata ini? Adakah anda pernah memberikan alasan-alasan, menyalahkan orang lain dan berputus asa?
Apakah pola yang ada pada orang-orang yang berjaya? Apabila mereka tidak mencapai matlamat mereka, mereka tidak menganggapnya sebagai suatu kegagalan. Mereka menerimanya sebagai suatu maklum balas. Mereka menggunakan maklum balas ini bagi mengubah strategi dan mengambil tindakkan lain dengan segera.
Ramai orang mengatakan Thomas Edison mencuba hampir 10,000 kali sebelum berjaya mencipta lampu. Apabila orang bertanya kepadanya bagaimana dia berjaya mencipta mentol, dia menjawab dia terpaksa mencuba 9,999 strategi bagaimana mencipta mentol sehingga dia bertemu strategi yang betul . Dia menggunakan kegagalannya sebanyak 9999 kali itu sebagai maklum balas bagi mencapai kejayaaannya mencipta mentol lampu pertama di dunia.