Melihat dan Merebut Peluang

 

Adakah anda mampu melihat, mencari dan merebut peluang yang ada di persekitaran anda? Berapa kuatkah kemampuan anda dalam mencari peluang?

Sikap individu usahawan yang mempunyai daya melihat dan merebut peluang dapat dilihat melalui aspek-aspek berikut iaitu sentiasa mencari dan melihat peluang yang wujud di persekitarannya dan kreatif serta mampu merebut peluang-peluang tersebut serta merebut peluang-peluang yang luar biasa dalam memperluaskan tempat perniagaan, mendapat bantuan kewangan, peralatan atau bantuan-bantuan yang boleh membantu meningkatkan prestasi perniagaan.

Secara rasionalnya, kejayaan seseorang usahawan banyak bergantung kepada kemampuannya melihat dan merebut peluang yang wujud di persekitarannya. Peluang perniagaan wujud hasil permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh usahawan lain, disebabkan kewujudan teknologi baharu, kemahiran baharu, sumber-sumber alam yang belum diterokai dan kaedah dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang belum diperkenalkan. Kemampuan ini perlu wujud dalam peringkat memulakan perniagaan hingga ke peringkat menjalankan fungsi-fungsi utama seorang usahawan sepanjang hayat perniagaannya.

(Dipetik dan diubahsuai daripada buku Asas Pembudayaan Keusahawanan)