Kemahiran Insaniah Penentu Raih Kejayaan

mahasiswa

Timbul persoalan kenapa ramai graduan tak dapat kerja ? Apakah ijazah dan diploma bukan jaminan seseorang menerima jawatan yang selesa ?

Isu utama yang sering diucapkan adalah kemahiran insaniah. Mungkin ramai kalangan mahasiswa khususnya, kurang mengambil berat kemahiran ini. Sebahagian daripada mereka pula langsung tidak tahu apakah yang dimaksudkan kemahiran insaniah.

Kemahiran insaniah adalah aspek penting ketika dan selepas tamat pengajian. Kemahiran insaniah akan menjadi kayu bagi setiap mahasiswa agar mereka boleh memenuhi kriteria atau ciri yang dikehendaki majikan kelak.

Tujuh elemen penting dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan, kemahiran pemikiran secara kristis, pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, etika dan nilai professional.

Elemen ini sangat penting dan amat diperlukan ketika kita bekerja kelak. Namun, ramai yang beranggapan bahawa gred yang tinggi mampu menjamin pekerjaan apabila tamat pengajian.

Contohnya, seseorang mahasiswa yang mendapat gred 4.0, tetapi kurang kemahiran komunikasi, sudah pastinya majikan tidak akan memilih bekerja berbanding mereka yang sekadar mencapai gred 2.8 sahaja. Komunikasi sangat penting dan ia mampu membentuk jati diri, keyakinan, kerja berpasukan dan memimpin dengan baik. Maka, natijahnya tidak hairanlah ramai graduan menganggur.

Kemahiran insaniah ini dapat diukur melalui kursus program berkredit yang ditawarkan di setiap universiti. Antaranya seperti badan beruniform, kelab persatuan dan permainan. Bermula dari sini mahasiswa akan dinilai tahap kemahiran mereka dan akan dibantu oleh jurulatih mereka sendiri. Kebiasaannya setiap individu akan diberikan tugasan dan dinilai tahap kemahiran insaniah.

Kebanyakkan mahasiswa sekarang terlalu memilih kerjaya mengikut kelayakan masing-masing. Tidak kurang daripada itu mereka sering memilih kerjaya yang menawarkan gaji lumayan sahaja. Keadaan ini merugikan diri sendiri. Mereka akhirnya menganggur kerana gagal bersaing menjawat jawatan sepatutnya.

Sumber: Berita Harian