Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam

modul motivasi islamMutakhir ini, semakin ramai umat Islam yang ingin mendapatkan perkhidmatan motivasi berasaskan Islam Ia adalah sesuatu yang positif kerana menunjukkan keinginan masyarakat untuk kembali kepada Islam dalam memotivasikan diri mereka.

Mereka yakin bahawa agama adalah penyelesaian kepada segala masalah dalam isu moral, disiplin, kerjaya, pelajaran dan sebagainya. Selaras dengan permintaan yang tinggi, program-program motivasi berunsur Islam sama ada secara persendirian atau berkumpulan tumbuh dengan begitu pesat.

Namun begitu, ruang motivasi yang terbuka luas, dibimbangi boleh mencemarkan imej Islam sekiranya dilaksanakan tanpa satu garis panduan yang jelas. Lebih membimbangkan, dunia moden menyaksikan betapa kepesatan ilmu motivasi Barat telah mendominasi dunia motivasi itu sendiri.

Keadaan ini memerlukan sebarang unsur – unsur asing yang tidak bersesuaian dan bercanggah dengan kesucian Islam diteliti dan ditapis agar motivasi yang disampaikan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Berlandaskan realiti tersebut, garis panduan ini digarap untuk menjadi rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program motivasi berunsur Islam.

Definisi Istilah

Berikut dinyatakan definisi beberapa istilah penting yang tercatat dalam garis panduan ini, iaitu:

a) Program motivasi berunsur Islam : Iaitu mana – mana program motivasi yang dikendalikan oleh orang Islam dan mengaitkannya dengan ajaran Islam seperti berikut:

i) Nama program motivasi yang menggunakan istilah-istilah keislaman seperti al-fi trah, alfalah,
al-solah dan seumpama dengannya,
atau;

ii) Menyandarkan program motivasi kepada rujukan Islam seperti mengatakan motivasi yang disampaikan adalah bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah, tokoh-tokoh ulama Islam, ilmu tasawuf dan seumpama dengannya, atau;

iii) Kandungan penyampaian yang mengambil ayat-ayat al-Qur’an, hadith-hadith, athar tabi’in, kisah para nabi, doa-doa dan seumpama dengannya, atau;

iv) Mana-mana yang mempunyai salah satu daripada ciri-ciri seperti di atas atau lebih.

b) Aqidah, syariah dan akhlak: Iaitu yang berasaskan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

c) Maslahah umum umat Islam : Iaitu suasana yang sentiasa memelihara umat Islam dalam keadaan aman, harmoni dan bersatu serta menjauhkan mereka daripada kekeliruan, ketidaktenteraman dan perpecahan.

d) Neuro Linguistic Programming (NLP) : Iaitu satu program yang bermula di California pada awal 1972 ketika Richard Bandler, mahasiswa University of Santa Cruz bersepakat dengan John Grinder (Profesor Bahasa) untuk mempelajari kesempurnaan keterampilan berkomunikasi. Kesempurnaan ini dibuktikan dengan beberapa orang yang tergolong dalam kumpulan mustahil boleh disembuhkan akhirnya sembuh dan kemudian dijadikan model oleh Bandler dan Grinder. Mereka berpendapat walaupun pesakit itu berbeza gaya keperibadian, tetapi ternyata ada pola yang sama dalam melakukan komunikasi. Oleh itu Bandler dan Grinder berpendapat, pola yang sama boleh diguna pakai untuk mencapai kesempurnaan di bidang lain. Kini NLP tidak hanya dipakai untuk keperluan penyembuhan tetapi secara meluas pada berbagai-bagai disiplin di pelbagai negara. Manfaatnya sangat luas bermula daripada menghentikan tabiat buruk sehinggalah menguasai beberapa teknik pergerakan seperti memahami bacaan tubuh dan ragam manusia.

e) Hipnotisme : Ia berasal daripada perkataan ‘hypnos’ iaitu nama dewa tidur bagi orang-orang Yunani. Dari sudut istilah, hipnosis ialah keadaan menyerupai tidur yang dapat dilakukan secara sengaja terhadap seseorang, iaitu seseorang yang sedang dihipnosis boleh menjawab pertanyaan yang diajukan serta melaksanakan sesuatu arahan tanpa bantahan. Hipnotisme yang mempunyai unsur-unsur sihir dan pukau adalah diharamkan.

f) Kuasa minda : Ialah sesuatu yang dikaitkan dengan empat gelombang otak, iaitu Beta, Alpha, Theta dan Delta. Menurut teori ini, setiap gelombang memiliki frekuensi yang berbeza dan mempunyai kelebihan serta fungsi tertentu.

g) Aura warna : Digelar juga sebagai gelombang elektromagnetik, jaluran tenaga atau wap-wap air dalam warna-warna pelangi yang diserap dan tidak kelihatan dalam cahaya nampak tetapi sebenarnya ia wujud di persekitaran tubuh manusia, haiwan dan tumbuhan yang hidup. Dalam setiap warna itu pula terdapat maksud yang tertentu. Contohnya warna kuning, ia menggambarkan seseorang yang berpegang pada logik, material (kebendaan). Banyak menggunakan kuasa, akal, bijak, cerdik, berkira-kira, cermat atau terlalu boros. Jika kuning berlebihan,orang itu penuh dengan perasaan was-was, syak wasangka, dengki khianat atau penyakit pada hati.

h) Numerologi : Iaitu salah satu sistem kuno yang seringkali digunakan untuk ramalan. Pada dasarnya, numerologi mengira bagaimana sistem angka mempunyai hubungan dengan benda atau makhluk hidup. Seringkali, numerologis akan menggunakan nama penuh seseorang atau tarikh lahir penuh untuk mendapatkan nombor tertentu. Melalui numerologi, dikatakan seseorang dapat mengenalpasti arah tuju kehidupan, potensi diri dan bakat yang tersembunyi.

i) Spiritualiti Barat : Iaitu spiritualiti yang bersumberkan supernatural dan transcendent. Ilmu
tersebut dianggap universal. Oleh itu, ilmu tersebut tidak dibatasi oleh suatu kelompok agama tertentu. Ia adalah milik bersama semua Tradisi Primordial. Perkara ini berbeza sama sekali dengan spirituality atau ilmu kerohanian dalam Islam, ini kerana ilmu kerohanian atau tasawwuf atau ihsan adalah satu tingkatan tertinggi dalam ibadah bagi seseorang Islam. Ianya bersifat eksklusif dan berkait rapat dengan amal ibadah dalam Islam.

j) Matrix code : Iaitu satu kaedah yang mengajar tentang rahsia ilmu penomboran dan kaitannya dengan kehidupan manusia.

k) Ilmu astrologi : Iaitu ilmu nujum atau ilmu ramalan yang berdasarkan bintang-bintang.

l) Isra’iliyat : Cerita-cerita ambilan daripada Bani Israel yang bercampuraduk antara benar dan palsu.

Syarat-Syarat Penyampai Motivasi Berunsur
Islam

4. Syarat-syarat bagi seseorang penyampai motivasi berunsur
Islam adalah seperti berikut :

a) Sekurang-kurangnya memiliki ilmu-ilmu asas fadhu‘ain yang kukuh dalam aqidah dan syariah sama ada secara formal atau tidak. Memiliki tauliah atau kelayakan dalam bidang agama daripada mana-mana institusi yang diiktiraf adalah lebih baik;

b) Penampilan sebagai seorang muslim yang jujur dan taat kepada agama. Ia termasuk menutup aurat, berakhlak mulia dan tidak memiliki sebarang kes yangboleh merosakkan maruah dirinya sebagai penyampai motivasi Islam;

c) Memiliki sijil yang diiktiraf oleh kerajaan dalam bidang kepakarannya;

d) Tertakluk kepada tauliah kebenaran berceramah oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri.

Tempat Program

5. Mengadakan program motivasi di tempat yang bersesuaian dengan imej Islam yang dipamerkan.

Waktu Program
6. Jadual program hendaklah tidak mengabaikan waktu solat.

Syarat-Syarat Kandungan Program Motivasi

Penggunaan Sumber Islam
7. Dalam penyampaian motivasi Islam, seseorang ahli motivasi sudah tentu akan menyandarkan modul atau kandungan motivasinya kepada sumber-sumber Islam seperti al-Qur’an, al-Hadith dan lain-lain. Walau bagaimanapun, penggunaan sumber-sumber ini perlu dipastikan benar-benar tepat, dinukil dan dibaca dengan betul, ditafsir atau disyarahkan mengikut tafsiran atau syarahan yang muktabar berasaskan disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Antara perkara-perkara yang perlu dititikberatkan dalam penggunaan sumber-sumber Islam adalah seperti yang berikut :
a) Membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan betul;

b) Menyebut hadith-hadith beserta rujukan yang diambil dan memastikan taraf sesuatu hadith tersebut;

c) Tidak meriwayatkan hadith-hadith palsu yang tidak diketahui sumbernya;

d) Merujuk tafsiran al-Qur’an kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar;

e) Merujuk syarahan hadith-hadith kepada kitab-kitab syarah hadith yang muktabar;

f) Tidak mereka-reka sendiri kelebihan ayat-ayat atau doa-doa tertentu tanpa mempunyai sandaran daripada sumber yang muktabar;

g) Tidak menyebut sebarang kisah para nabi dan para sahabat kecuali dari sumber-sumber yang muktabar;

h) Tidak mengeksploitasi ayat-ayat al-Qur’an di luar konteks sebenar seperti menjadikan ayat-ayat al- Qur’an sebagai ubat pengasih dan lain-lain;

i) Tidak menyentuh soal ibadah kecuali bersandarkan kepada mazhab yang muktabar menurut disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah;

j) Tidak mengambil kesempatan mengajarkan sebarang ajaran kesufian kecuali bersandarkan tasawuf Islam yang muktabar;

k) Tidak boleh menimbulkan perkara atau keadaan yang boleh mendatangkan keraguan, kekeliruan dan kegelisahan masyarakat terhadap sumber-sumber agama mereka.

Penggunaan Sumber Saintifik
8. Pada asasnya, Islam tidak menolak kemajuan sains, malah para ulama telah membuktikan, dengan mengamalkan ajaran Islam, banyak penemuan sains dan teknologi telah dicapai seperti dalam ilmu perubatan, astronomi, matematik, fizik dan lain-lain. Namun begitu, penemuan-penemuan sains tidak boleh menjadi penilai terhadap kebenaran al-Quran dan hadith sebagai nas-nas Islam yang muktamad. Sains kekal menjadi sesuatu yang bersifat teori dan terbuka kepada perubahan dari semasa ke semasa, sebaliknya nas-nas al-Qur’an dan al-Hadith tetap kekal hingga ke hari Kiamat. Oleh itu, antara perkara yang perlu diawasi dalam penggunaan sumber-sumber saintifik yang ingin dikaitkan dengan Islam adalah seperti yang berikut :

a) Tidak menjadikan sains sebagai objektif utama dalam beraqidah dan beribadah seperti mengatakan al-Qur’an adalah kitab sains dan seumpama dengannya;

b) Tidak sewenang-wenangnya mengaitkan teori-teori sains metafizik seperti kuasa minda, aura warna, NLP dan seumpamanya dengan amal ibadah dalam Islam. Antaranya mendakwa waktu siang adalah sesuai untuk berdoa mengenai permohonan “dunia” manakala pada waktu malam sesuai untuk berdoa mengenai “akhirat”, kerana setiap gelombang pada waktu siang dan malam adalah berbeza dan permintaan dalam doa tersebut perlu disesuaikan mengikut gelombang
masing-masing;

c) Tidak menjadikan dapatan-dapatan sains sebagai sebab atau ‘illah utama perintah dan larangan Allah SWT seperti menghuraikan sebab kewajipan solat, pengharaman khinzir dan lain-lain dari sudut sains;

d) Hanya mengemukakan dapatan-dapatan sains yang telah disahkan secara akademik beserta bukti daripada sumber yang berautoriti;

e) Tidak merasionalisasikan semua bentuk kepercayaan aqidah dan amal ibadah terutamanya ibadah yang mahdhah berdasarkan teori sains seperti mengaitkan formula ‘infinity’ dengan perkara yang mencarik adat dan seumpama dengannya.

Penggunaan Kaedah dan Instrumen Tambahan
9. Kaedah, pendekatan dan gaya penyampaian juga adalah elemen penting dalam memastikan motivasi yang disampaikan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ia juga membabitkan penggunaan instrumen tambahan yang lain seperti muzik, video, nyanyian, permainan dan seumpama dengannya. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti yang berikut :

a) Tidak menggunakan apa jua bentuk atau kaedah yang mempunyai unsur-unsur meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat, rahsia tulisan tangan, ilmu astrologi dan seumpama dengannya;

b) Tidak memasang dan mencampuradukkan ayat-ayat al-Qur’an dengan bunyi-bunyian muzik;

c) Tidak memasukkan bentuk-bentuk permainan yang mengundang kelalaian dan kemaksiatan;

d) Tiada unsur-unsur memaksa peserta supaya meratapi kesalahan dan menceritakannya kepada orang lain secara terbuka;

e) Tidak mengeksploitasi sewenang-wenangnya sebarang perbuatan ibadah seperti solat, haji dan seumpamanya untuk tujuan simulasi yang melibatkan bukan muslim;

f) Tidak menggunakan peralatan muzik atau nyanyian – nyanyian melampau yang tidak melambangkan ciri- ciri keislaman;

g) Tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;

h) Tidak membekalkan para peserta dengan tangkal, azimat, jampi serapah yang mengandungi unsur syirik dan seumpama dengannya;

i) Tidak membawa cerita karut-marut, khurafat, tahayul dan isra’iliyat yang tidak dijelaskan kedudukannya semata-mata untuk menarik perhatian peserta;

j) Tidak menggunakan kaedah hipnotisme yang mempunyai unsur-unsur sihir untuk memanipulasikan minda bawah sedar atau memikat hati, dan memperdayakan para peserta.

k) Tidak mencampuradukkan antara tasawuf Islam dengan unsur-unsur spiritualiti Barat;

l) Tidak mempromosi, mengiktiraf atau mengakui sebarang bentuk unsur-unsur kepercayaan dan
peribadatan dalam agama lain;

m) Tidak menyamakan konsep-konsep tertentu dalam agama Islam dengan konsep-konsep dalam agama lain seperti menyamakan solat dengan yoga dan seumpamanya;

n) Tidak mengeksploitasi para peserta untuk mengutip apa-apa bentuk derma ketika program sedang berjalan kecuali setelah dinyatakan tujuannya terlebih dahulu;

o) Tidak boleh mempamerkan apa-apa perkara yang mencarik adat yang disandarkan kepada agama; dan

p) Tidak mempromosikan mana-mana ajaran atau amalan yang telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa Negeri sama ada yang telah diwartakan atau belum.

Penutup
10. Sesungguhnya usaha untuk memulihkan dan memperbaiki jati diri seseorang manusia supaya kembali kepada agama adalah suatu perkara yang mulia. Ia jelas termaktub dalam objektif program – program motivasi yang dianjurkan berasaskan Islam. Walaupun begitu, matlamat yang baik jika tidak dilaksanakan berasaskan prinsip dan tatacara yang ditentukan Islam, maka ia seolah-olah akan menjadi perosak kepada agama Islam itu sendiri. Oleh itu, garis panduan ini diwujudkan supaya ia dapat memandu golongan terlibat agar dapat memastikan segala kaedah dan kandungan yang dipersembahkan adalah sahih dan tidak terkeluar daripada aqidah, syariah dan akhlak Islam.

Sumber: E-Fatwa