Turutan Nafkah Suami Menurut Islam

Nafkah Suami
Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa).

Turutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Turutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah. Keep Reading →