Pekerja tak mahir lebih kerap lompat kerja

KUALA LUMPUR — Kecenderungan lompat kerja lebih kerap berlaku di kalangan pekerja tidak mahir serta buruh di ladang, restoran, dan kilang, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Katanya, lompat kerja juga sering berlaku di kalangan pencari kerja generasi muda, terutama mereka yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sumber Manusia Kebangsaan di sini semalam, menteri itu berkata, antara sebab berlaku hal itu ialah kurangnya peluang untuk meningkat maju dalam kerja mereka.

“Saya rasa ini adalah masalah sikap yang perlu kita perbetulkan. Memang benar kita mempunyai banyak pekerjaan dan peluang di Malaysia tetapi terpulang kepada generasi muda menggunakan peluang ini,” katanya. — BERNAMA

Sumber: Kosmo Online