Lapangkan Hatimu Dengan Taubat

pendosa perlu bertaubat

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?

Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira.. itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.

Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad] Keep Reading →

Usahakan Bisnes Fi Sabilillah

Islamic-Business-Jihad-mixing-business-with-Islamic-causes

“Mustahil capai transformasi ekonomi menuju ke tahap negara maju tanpa kejayaan bisnes milik Melayu dan umat Islam warga majoriti Malaysia.” Itulah antara inti pati mesej ceramah saya di Konvensyen Inspirasi Usahawan anjuran bersama Radio IKIM-FM dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) minggu lalu di Kompleks IKIM, Kuala Lumpur.

Konvensyen dirasmikan pelancarannya oleh Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah IKIM yang turut menyampaikan ucaptama. Dewan Konvensyen dipenuhi lebih 300 peniaga dan ahli bisnes sehingga ada yang terpaksa ditempatkan di ruang lain, mengikuti acara menerusi saluran video. Majoriti peserta terdiri daripada pendengar dan pengikut setia program mingguan “Inspirasi Usahawan” siaran Radio IKIM-FM setiap Selasa jam 3 petang.

Mustahil perkasa jika bisnes nafsi-nafsi

Dalam kata lain, warga bisnes Melayu-Muslim berperanan kritikal dalam usaha memperkasa ekonomi: “Dalam memperjuangkan ekonomi, ahli bisnes berperanan lebih penting daripada politik, kerana di bawah sistem pacuan bisnes kuasa politik dan dasar kerajaan semata-mata tidak berupaya memperkasa ekonomi Melayu.” Saya juga tegaskan: Mustahil ekonomi Melayu, Bumiputera dan umat Islam diperkasa selagi bisnes tidak dijadikan “sembilan per sepuluh” sumber rezeki dan ahli bisnes Melayu tidak membudayakan jaringan persepakatan bisnes.

Paling penting, usahawan dan peniaga Melayu-Muslim tidak bertindak nafsi-nafsi, iaitu menjayakan bisnes sendirian dengan “menjaga periuk nasi masing-masing” tanpa berpadu tenaga dan berkongsi sumber, bersepakat bertindak atas dasar kerjasama dan bermuafakat. Tanpa muafakat bisnes Melayu sangat lemah daya saing, mudah ditewaskan dan pada jangka panjangnya payah dikembangkan secara tersusun dan berorganisasi bersaing di tahap tinggi. Keep Reading →

Kehendak Manusia Atau Kehendak Allah ?

compass

Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pun keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup.

Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.

Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengan cara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.

 

Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya.Selain dari itu adalah pilihan yang salah.

Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah.. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah lebih penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?

Dalam ketaatan kepada Ibu bapa, agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hamba-Nya selalu mengutamakan perintah-Nya.

Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini, wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu?

Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan, samada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi sebagai ‘bukti’ cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu.

Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.

Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak.

Kita boleh membuat pilihan tetapi tidak boleh mimilih akibat pilihan itu.

Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.

Sumber : www.iluvislam.com

Tak sangka ALLAH balas cepat

sedekah

KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.

Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.

Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.

Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.

“Kenapa? Macam serius bersembang?” Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.

Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.

Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.

“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.

“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.

“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.

Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.

Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.

“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

“Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau…” ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.

“Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka,” jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.

Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.

Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.

Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

Fatamorgana Hijjaz

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun tergoda
Harta pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi

Pulanglah kepada tuhan
Cahaya kehidupan
Keimanan ketaqwaan kepadanya
Senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal selamanya

Air Mata Menitis Ketika Mendengar Ceramah Ustaz Don Daniyal

Dalam hidup, ada 3 perkara yang perlu diberikan lebih tumpuan dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh..

1. Berusaha menginfakkan harta sebanyak mungkin
2. Berusaha menyebarkan ilmu yang baik sebanyak mungkin
3. Berusaha mendidik anak-anak sebaik mungkin agar menjadi anak yang soleh dan solehah.

Itulah sahaja yang dapat membantu kita selepas mati kelak..

Muhasabah Diri…

Air Mata Menitis Ketika Mendengar Ceramah Ustaz Don Daniyal ( Anak Aset ke Syurga atau Neraka )

Pesanan Untuk Orang Muda

pemuda kita

Wahai orang muda berumur, kalian mungkin dilihat dominan dengan sesuatu sifat, sikap dan pendirian pada hari ini.

Namun ketahuilah, statistik menunjukkan tempoh 10 tahun mendatang adalah SANGAT KRITIKAL menetapkan SIAPA DIRIMU.

10 tahun yang bakal MEMBERIKAN pelbagai pengalaman dan ilmu pelbagai yang MAMPU MENGUBAH seseorang dari baik kepada kurang, dari buruk kepada baik, dari jahil kepada berilmu, dari berilmu kepada menggadainya untuk pangkat dan kedudukan.

Anda SEDANG BERADA dalam FASA KRITIKAL menentukan siapa dirimu untuk jangka lebih panjang. TELITI dan MUAHASABAH kelilingmu, pasanganmu, rakanmu, kerjayamu, ilmumu, gurumu, minatmu, bacaanmu, makananmu, pendapatanmu dan banyak lagi. KERANA ITU SEMUA MEMBERI KESAN. Sama ada jalan seterusnya akan lurus atau bengkok.

Apa kunci konsisten atas kebaikan dan kesolehan ?

Jawabnya, hayatilah sungguh-sungguh doa dalam al-fatihah yang kerana itulah kita perlu mengulangi sebanyak yang mampu dalam solat walau rasa diri sudah perolehi hidayah.

Sumber: Diedit dan diubah dari fb ustaz zaharuddin.net