Tak sangka ALLAH balas cepat

sedekah

KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.

Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.

Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.

Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.

“Kenapa? Macam serius bersembang?” Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.

Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.

Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.

“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.

“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.

“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.

Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.

Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.

“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

“Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau…” ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.

“Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka,” jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.

Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.

Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.

Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

Gaya Mutu Keunggulan

gaya mutu keunggulan

Barangkali ramai yang cemburu melihat bos.

Gaji besar. Kereta besar. Rumah besar.

Kita yang di bawah ini lah yang kena kerja keras. Bos tahu siap sahaja. Seronok jadi bos ni kan. Kaya. Hidup senang. Tiada masalah nak pergi melancong tiap-tiap tahun dengan keluarga.

Hakikat sebenar, tiada siapa tahu.

Kita selalu tengok ‘kekayaan’ dari simbol. Gaya. Mutu. Keunggulan.

  • Dia pakai kereta sport BMW. (Hutang kereta tu berapa lama?)
  • Rumah dia besar. Banglo 8,000 kaki persegi. (Berapa bayar hutang rumah sebulan?)
  • Kad kredit platinum. (Berapa baki hutang kad kredit dia?)
  • Beg tangan Prada. (Beli tunai ke hutang tu?)
  • Anak kahwin buat di hotel. (Hutang lagi?)

Yang kita nampak itu adalah simbol kekayaan. Beban. Banyak yang dibeli dengan berhutang.

Tunggu lah ketika usia persaraan dah dekat. Bila pencen hanya kira gaji hakiki akhir. Elaun sudah tiada. Bila gaji bulan-bulan sudah tiada. Hanya tinggal duit KWSP. Tersentap atau boleh rileks lagi?

Kalau kita masih dapat tersenyum menjelang usia persaraan, kita dah buat perkara yang betul waktu kita muda. Beruntunglah kita.

Sumber: pakdi.net

Tiada niat menunjuk-nunjuk kekayaan diri

Ammar Zahar

Kuala Lumpur: Baru berusia 26 tahun tetapi bergelar jutawan dengan pendapatan mencecah enam angka setiap bulan.

Pendapatan diperoleh itu memang cukup untuk membolehkan dirinya hidup mewah, namun ia bukan sebab untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kekayaan dimiliki.
Itu rahsia hidup jutawan Internet, Muhammad Ammar Zaharudin yang menggunakan kecanggihan teknologi perkomputeran sebagai bidang perniagaan.

Bermula dengan penjualan bahan grafik di asrama, dia kini boleh berbangga apabila mampu membuka perniagaan sendiri di bawah jenama Jootawan Group Sdn Bhd yang kini bukan sekadar menjual produk digital di Internet, sebaliknya turut mengadakan bengkel dan seminar bagi melahirkan jutawan kepada sesiapa yang berminat.
Berkongsi resipi bagaimana ruang itu digunakan, Muhammad Ammar mengakui ia bermula sekadar percubaan untuk mencari duit saku ketika berada di tahun pertama pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2006. Keep Reading →

Pinjam Along Untuk Bayar Yuran Pengajian PhD

jangan pinjam along

Kuala Lumpur: “Pada mulanya, saya hanya pinjam RM5,000 daripada seorang along untuk membayar yuran pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD), tetapi apabila gagal membayarnya, along lain pula menghantar SMS dan menawarkan pinjaman.

“Kerana terdesak untuk menjelaskan hutang itu, saya meminjam daripada along kedua dan begitulah seterusnya sehingga saya berhutang dengan 11 along berjumlah lebih RM30,000 dan pernah cuba bunuh diri kerana terlalu tertekan,” kata mangsa buruan ceti haram yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 37.

Menurut Yati yang lumpuh separuh kaki akibat kemalangan jalan raya 13 tahun lalu, kehidupannya tidak pernah tenteram sejak menjadi ‘pelanggan’ along pada November lalu apabila kerap menerima ugutan bunuh, bakar dan disimbah asid jika lambat atau gagal membayar hutang mengikut masa ditetapkan. Keep Reading →

Buat Universiti Sendiri

tan_sri_dr_limkokwing

Satu-satunya universiti yang guna nama orang kat dunia, universiti apa ? Senam minda sikit. Ya betul, Universiti Limkokwing, dibangunkan oleh Tan Sri Lim Kok Wing, sebijik nama dia kan ? Orang boleh buat universiti guna nama dia sendiri, apa ke halnya orang nak sibuk kita pilih universiti apa dan di mana untuk belajar.

Bahkan, universiti ni adalah universiti yang pertama di dunia dan kekal unggul, ditubuhkan oleh seorang bernama Lim. Sekarang ada cawangan di Hong Kong, Bali, Borneo, Botswana, Kemboja, China, Lesotho,  bahkan di United Kingdom, student dia ada dari serata dunia, teras penubuhannya adalah inovasi dan kreativiti, yang sekarang ni menjadi teras kemajuan Malaysia iaitu inovasi dan kreativiti Keep Reading →

Cerita Motivasi Kisah Tiga Budak Hitam

Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.

Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata ” Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu”

Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, ” Pintalah!” Budak hitam pertama pun berkata . “Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik” Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,”Pintalah!”. Keep Reading →

Prinsip Itik Berenang Bagi Pelajar Cemerlang

Jika kita rasa belajar itu susah, jika kita rasa kepala kita pening dan jika kita rasa hampir putus-asa untuk belajar, jangan bimbang, pelajar cemerlang juga rasakan perkara yang sama. Susah, pening dan rasa mahu putus-asa itu adalah normal, bukan bermaksud kita lemah. Apa yang akan membezakan kita dengan pelajar lain ialah walaupun kita rasa pening, susah dan mahu putus-asa, kita teruskan juga berusaha untuk belajar.

Adik-adik yang saya hormati sekalian, pernahkah adik-adik melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau tasik? Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air dengan tenang dan selesa. Pergerakan mereka sangat lancar dan mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan dengan begitu lembut dan indah.

Namun, tahukah kita apa yang berlaku di bawah permukaan air itu? Sedarkah kita yang di bawah permukaan air itu kaki itik sedang bekerja keras mengayuh hampir ke semua arah bagi memastikan itik kekal timbul?

Saya baca kisah itik berenang ini di dalam buku Tuan Fadzli Yusof ‘Kuasa Hijrah, kuasa untuk berubah’. Di dalam buku ini, Tuan Fadzli ada ceritakan tentang satu prinsip yang diamalkan oleh Tuan Nizal Mohammad, pengacara TV terkenal. Menurut Tuan Nizal, walaupun seseorang yang BERJAYA itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja, mereka sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus-lumus Keep Reading →