Lapangkan Hatimu Dengan Taubat

pendosa perlu bertaubat

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?

Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira.. itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.

Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad] Keep Reading →

Usahakan Bisnes Fi Sabilillah

Islamic-Business-Jihad-mixing-business-with-Islamic-causes

“Mustahil capai transformasi ekonomi menuju ke tahap negara maju tanpa kejayaan bisnes milik Melayu dan umat Islam warga majoriti Malaysia.” Itulah antara inti pati mesej ceramah saya di Konvensyen Inspirasi Usahawan anjuran bersama Radio IKIM-FM dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) minggu lalu di Kompleks IKIM, Kuala Lumpur.

Konvensyen dirasmikan pelancarannya oleh Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah IKIM yang turut menyampaikan ucaptama. Dewan Konvensyen dipenuhi lebih 300 peniaga dan ahli bisnes sehingga ada yang terpaksa ditempatkan di ruang lain, mengikuti acara menerusi saluran video. Majoriti peserta terdiri daripada pendengar dan pengikut setia program mingguan “Inspirasi Usahawan” siaran Radio IKIM-FM setiap Selasa jam 3 petang.

Mustahil perkasa jika bisnes nafsi-nafsi

Dalam kata lain, warga bisnes Melayu-Muslim berperanan kritikal dalam usaha memperkasa ekonomi: “Dalam memperjuangkan ekonomi, ahli bisnes berperanan lebih penting daripada politik, kerana di bawah sistem pacuan bisnes kuasa politik dan dasar kerajaan semata-mata tidak berupaya memperkasa ekonomi Melayu.” Saya juga tegaskan: Mustahil ekonomi Melayu, Bumiputera dan umat Islam diperkasa selagi bisnes tidak dijadikan “sembilan per sepuluh” sumber rezeki dan ahli bisnes Melayu tidak membudayakan jaringan persepakatan bisnes.

Paling penting, usahawan dan peniaga Melayu-Muslim tidak bertindak nafsi-nafsi, iaitu menjayakan bisnes sendirian dengan “menjaga periuk nasi masing-masing” tanpa berpadu tenaga dan berkongsi sumber, bersepakat bertindak atas dasar kerjasama dan bermuafakat. Tanpa muafakat bisnes Melayu sangat lemah daya saing, mudah ditewaskan dan pada jangka panjangnya payah dikembangkan secara tersusun dan berorganisasi bersaing di tahap tinggi. Keep Reading →

Skim Lambat Kaya

tertipu

Ramai orang mahukan kekayaan. Ramai juga yang ingin kekayaan dengan cepat. Selalu kita dengar mengenai skim cepat kaya yang akhirnya hanya meleburkan wang kita. Hari ini saya ingin sampaikan mengenai satu skim, tetapi bukan skim cepat kaya – skim lambat kaya!

Skim cepat kaya sering mempunyai risiko yang tinggi dan selalunya satu penipuan yang hanya melesapkan wang anda, skim lambat kaya pula berisiko rendah dan sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa saja termasuk anda. Lebih penting, ia pasti menjadi!

Apakah itu skim lambat kaya?

Sebenarnya ia satu pelaburan cara lama. Tiada apa yang canggih, kompleks dan sukar, tetapi pelaburan yang mudah iaitu anda menyimpan, melabur dan tunggu. Tunggu berapa lama? Tunggu seberapa lama yang mungkin!

Minggu lalu sekiranya masih ingat, saya sampaikan mengenai pulangan kompaun. Ia membabitkan kaedah melaburkan wang dan biarkan pulangan atas pelaburan terbabit juga berkembang dan dilaburkan untuk tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.

Dengan melakukan cara ini, wang RM100,000 sekiranya disimpan selama tujuh tahun pada pulangan pelaburan 10 peratus tanpa disentuh, ia sememangnya akan menjadi!

Lebih lama anda biarkan, lebih tinggi perkembangannya. Bererti sekiranya dibiarkan tanpa disentuh selama 14 tahun, wang terbabit akan berganda dua kepada RM400,000. Boleh tunggu lagi? Ia akan menjadi RM800,000 selepas 21 tahun tanpa disentuh. Ini yang dinamakan skim lambat kaya, tetapi apa yang penting ia pasti kaya!

Satu lagi syarat sekiranya anda berminat untuk menyertai skim lambat kaya adalah memulakannya dengan cepat. Seperti anda dapat lihat contoh di atas, perkembangan wang anda berganda tiga kali apabila diberi masa selama 21 tahun. Ertinya, lebih cepat anda mulakan pelaburan dan mengambil manfaat pulangan kompaun, lebih tinggi pulangan anda dalam jangka panjang. Keep Reading →

Kehendak Manusia Atau Kehendak Allah ?

compass

Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pun keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup.

Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.

Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengan cara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.

 

Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya.Selain dari itu adalah pilihan yang salah.

Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah.. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah lebih penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?

Dalam ketaatan kepada Ibu bapa, agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hamba-Nya selalu mengutamakan perintah-Nya.

Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini, wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu?

Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan, samada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi sebagai ‘bukti’ cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu.

Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.

Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak.

Kita boleh membuat pilihan tetapi tidak boleh mimilih akibat pilihan itu.

Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.

Sumber : www.iluvislam.com

Di Antara Gaya Hidup dan Taraf Hidup

Gaya Hidup MewahADA sesuatu yang menarik tatkala melayari internet mulai petang kelmarin dan juga pada pagi semalam. Menarik kerana dalam kemeriahan rakyat memberi reaksi terhadap kenaikan harga minyak, semakin banyak komen yang diberi dalam laman Facebook, Twitter dan blog disampaikan secara sinis, perli dan juga melawak.

Bukan sahaja dengan cara marah-marah dan maki hamun. Agaknya ramai yang dah habis marah hingga tak termarah lagi dengan kenaikan itu.

Siapa yang tak terkilan apabila harga minyak yang dianggap tidak akan naik dalam tempoh terdekat tiba-tiba lebih mahal 20 sen seliter dua hari selepas kita menyambut Hari Kemerdekaan? Barangkali juga, oleh kerana ramai yang mengagak lambat laun, harga minyak akan naik, maka ramai yang sudah bersedia menerima planned surprise itu. Justeru itu, marah yang dilepaskan menjadi lebih terkawal, lebih tertib, meskipun tahap kegeraman masing-masing tetap sama.

Dalam pada itu ramai juga penyokong tegar BN masih mempertahankan keputusan kerajaan dengan komen-komen politik, sedangkan kenaikan harga minyak itu bukannya keputusan politik, sebaliknya keputusan ekonomi.

Ya, kita boleh sarankan pak menteri jangan membazir wang rakyat dengan berbelanja besar untuk program berbentuk majlis, sambutan-sambutan, perayaan-perayaan, projek-projek atau apa sahaja yang tidak punyai kepentingan kesejahteraan rakyat. Tetapi, walau apa pun yang kita usulkan di laman-laman sesawang, akhirnya kita sendiri juga yang perlu menangani kenaikan itu ~ berdepan dengan realiti secara sendirian.

Meskipun bagi orang biasa yang menggunakan kenderaan sederhana seperti Proton Saga terpaksa menambah lebih kurang RM10 untuk setangki penuh minyak, dia sebenarnya menambah RM40 perbelanjaan minyak dalam sebulan jika dia mengisi minyak seminggu sekali. RM40 itu mungkin sekali bajet wang saku sekolah anaknya.

Ataupun bil api. Ataupun RM40 adalah bajet melanggan akhbar Sinar Harian untuk sebulan. Kesan kenaikan itu kecil bagi orang besar, tetapi besar buat orang kecil. Bagi orang kecil yang pandai mencari wang pendapatan tambahan, dia boleh cari tampung kekurangan belanjawan keluarganya berikutan dengan kenaikan ini. Tetapi bagi orang kecil yang tidak tahu arah atau jalan, kenaikan ini adalah sesuatu yang membebankan.

Dan ramai sekali orang kecil, malah orang sederhana yang di atas sebab-sebab kekangan masa, komitmen, pengetahuan dan peluang tidak dapat melakukan apa-apa.

Tetapi, walau marah macam mana pun, tindakan untuk meneruskan gaya hidup yang sama tanpa berbelanja secara berhemah merupakan satu bentuk denial. Orang tua kata, ‘ada buat cara ada, tak ada buat cara tak ada.’ Kalau kenaikan harga minyak itu membuatkan bajet lari, terimalah hakikat bahawa kita semakin sengkek.

Justeru itu, kita mesti hadapi kenyataan yang kehidupan kita semakin sempit. Ketepikan gaya hidup buat sementara kerana gaya hidup itu bukannya taraf hidup. Gaya hidup adalah khayalan untuk mempamer satu standard kehidupan seperti orang senang. Taraf hidup itu adalah realiti yang mesti ditangani secara realistik.

Mulakan dengan mengurangkan kepelbagaian menu makanan harian. Sarapan nasi lemak dengan dua jenis lauk boleh dikurangkan dengan sejenis lauk sahaja. Makan di luar seminggu sekali boleh dijarakkan selang seminggu. Jalan-jalan dan membeli-belah perlu diketepikan buat sementara waktu.

Seperti yang pernah saya beri sebagai contoh, kalau kita selongkar apa yang ada di dalam peti sejuk, kita tidak perlu ke pasar untuk seminggu. Yang penting, kenaikan harga minyak ini menjadikan kita peka dengan perbelanjaan. Bila kita mengawal nafsu berbelanja, ia adalah langkah kita untuk menyerap ketidakseimbangan bajet peribadi. Ia juga adalah latihan agar kita mengawal semula tabiat berbelanja tanpa berfikir panjang. Berpuasa dari berbelanja.

Semua ini adalah langkah berjimat cermat. Berjimat cermat? Ramai yang tidak selesa dengan istilah berjimat cermat kerana ia kedengaran retorik.  Tetapi, bukankah berjimat cermat itu adalah tindakan yang terpuji sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, mewah mahupun miskin? Yang penting, kita kena bersedia menangani kenaikan minyak kerana ada banyak lagi kenaikan lain yang bakal kita hadapi pada masa akan datang.

Sumber: sinarharian.com.my

SPA panggil anda 29 OGOS ini ?


Saya baru perasan tadi, SPA dah umumkan calon
yang layak untuk menduduki Peperiksaan Bertulis
Kemasukan sebagai Pegawai Penerangan S41 pada 29 Ogos ini.

Anda boleh buat semakan melalui link ini;

[+] http://www.spa.gov.my/Portal/Semak_Online/Jadual_Peperiksaan

Jika anda dipanggil, jangan hadir tanpa
persediaan, peluang untuk anda gagal besar
jika anda buat begitu.

Rujukan ini wajib anda baca. Ianya oleh
Team Infokerjaya yang telah bantu ribuan
calon lulus sejak tahun 2009 lagi. Terus ke;

www.pegawaipenerangan.com

Sekadar nak berkongsi 🙂

Tak sangka ALLAH balas cepat

sedekah

KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.

Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.

Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.

Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.

“Kenapa? Macam serius bersembang?” Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.

Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.

Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.

“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.

“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.

“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.

Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.

Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.

“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

“Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau…” ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.

“Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka,” jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.

Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.

Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.

Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.