Motivasi diri yang tinggi

Untuk berjaya, setiap insan itu memerlukan perubahan. Mereka perlu berhadapan dengan perubahan yang akan menjadikan diri mereka ingin kejayaan dan kecemerlangan menyinari kehidupan mereka. Perubahan yang dilakukan memerlukan motivasi dalaman yang mantap untuk memastikan perubahan yang dilakukan sentiasa konsisten dan membuahkan hasilkan yang membanggakan.

Hari ini kita dikenalkan dengan tokoh – tokoh atau public figure yang masing – masing dikatakan berjaya dalam kerjaya masing – masing. Dalam bidang perniagaan, hampir semua daripada kita mengenali Tan Sri Sheikh Mohktar al –Bukhar. Beliau adalah tokoh perniagaan yang berjaya dan aset hartanya bernilai berjuta ringgit. Selain itu, Dr Irfan  Khairi (jutawan Internet), Azizi Ali (jutawan hartanah), Dato’ Azman Chin (jutawan MLM), Dato Maznah Hamid dan ramai lagi.

Dalam bidang pembangunan diri dan motivasi, kita amat mengenali Dato Dr Mohd Fadzillah Kamsah, HM Tuah Iskandar al- Haj, Dr Shukri  Abdullah, Dr Dainal Zainal Abidin, Dr Tengku Asmadi (Pengasas Motivasi Alihan Pelajar) dan kini muncul pakar motivasi muda seperti saudara Ahmad Fadzli Yusuf, Amin Idris dan ramai lagi. Sebenarnya terlalu banyak figure- figure yang kita tahu dan mereka berjaya dalam bidang mereka masing- masing. Kejayaan mereka diiktiraf oleh manusia dan kebanyakan mereka ini dijadikan role model masyarakat dalam menuju punjak kejayaan.

Sekiranya kita amati untuk berjaya kita memerlukan satu kekuatan untuk melakukan perubahan. Motivasi diri yang tinggi amat diperlukan untuk menggerakkan segala perancangan yang dilakukan bagi memperolehi apa sahaja yang dihajati.

Untuk berjaya dalam hidup, setiap insan perlulah mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas dalam hidup mereka. Dengan erti kata lain orang yang berjaya adalah mereka yang bermatlamat serta berwawasan yang tinggi. Mereka mempunyai cita- cita yang tinggi serta mampu melihat jauh ke hadapan dalam membina kejayaan dan keunggulan. Frank Tibolt di dalam bukunya A Touch  Of Greatness berkata: “Biasanya orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang mempunyai matlamat yang jelas dan tidak pernah melupakannya dimana sahaja mereka berada.”

Sumber: Majalah Haluan (2008)