Tiada niat menunjuk-nunjuk kekayaan diri

Ammar Zahar

Kuala Lumpur: Baru berusia 26 tahun tetapi bergelar jutawan dengan pendapatan mencecah enam angka setiap bulan.

Pendapatan diperoleh itu memang cukup untuk membolehkan dirinya hidup mewah, namun ia bukan sebab untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kekayaan dimiliki.
Itu rahsia hidup jutawan Internet, Muhammad Ammar Zaharudin yang menggunakan kecanggihan teknologi perkomputeran sebagai bidang perniagaan.

Bermula dengan penjualan bahan grafik di asrama, dia kini boleh berbangga apabila mampu membuka perniagaan sendiri di bawah jenama Jootawan Group Sdn Bhd yang kini bukan sekadar menjual produk digital di Internet, sebaliknya turut mengadakan bengkel dan seminar bagi melahirkan jutawan kepada sesiapa yang berminat.
Berkongsi resipi bagaimana ruang itu digunakan, Muhammad Ammar mengakui ia bermula sekadar percubaan untuk mencari duit saku ketika berada di tahun pertama pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2006.
Katanya, disebabkan keluarganya hanya berniaga secara kecil-kecilan, dia terfikir cara untuk mencari wang saku lebih bagi menampung kos belajar.

Peluang mencari wang menerusi Internet hanya diketahui apabila dia menghadiri satu seminar keusahawanan di tempat pengajiannya yang kemudian merubah hidupnya.
“Sebenarnya kursus yang saya ambil ketika menuntut di UPM langsung tidak ada kena mengena dengan teknologi Internet. “Saya ambil kursus dalam bidang Seni Bina Landskap dan boleh dikatakan saya tidak mahir hal teknologi maklumat dan tidak ada kepakaran dalam bidang teknologi komputer.

“Namun, hanya dengan satu seminar yang saya hadiri, ia merubah hidup saya yang kini bergantung sepenuhnya kepada Internet sebagai sumber pendapatan,” katanya. Bercerita lebih lanjut, Muhammad Ammar berkata, perkara pertama dilakukan ialah menjual koleksi bahan grafik sedia ada yang boleh diubah suai bagi individu atau kegunaan syarikat kecil untuk penyediaan format seperti persembahan powerpoint.

Katanya, percubaannya berjaya membuahkan hasil apabila memperoleh RM500 pada hari pertama menjual koleksi grafik berkenaan. Menyedari potensi kegunaan Internet, dalam tempoh enam bulan, dia mula menjual maklumat serta panduan seperti e-book, perisian dan perkhidmatan membuat laman web kepada individu dari dalam dan luar negara.

“Sebenarnya saya memang tidak menyangka sambutan yang diterima ketika itu. Yang membuatkan saya terkejut bukan saja kerana mampu membuat duit di Internet, sebaliknya produk yang saya jual turut dibeli individu luar negara. “Selepas itu baru saya sedar dan nampak ruang serta peluang besar dalam perniagaan Internet yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Menurut Muhammad Ammar, pada 2008, dia meluaskan lagi skop serta produk jualannya seperti pelbagai maklumat bagi keperluan individu yang bersekolah, selain maklumat kursus bagi pengajian jarak jauh dalam versi bahasa Inggeris dan Melayu.

Ketika itu, dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM50,000 hingga RM100,000 sebulan.“Saya masih belajar hingga 2010. Sebaik tamat belajar, saya tidak menceburkan diri dalam bidang yang saya pelajari, sebaliknya terus dengan perniagaan Internet.

“Ini kerana saya lihat wujud potensi besar dalam ruang ini yang mampu menjana pendapatan. Jadi, pada 2010 saya tubuhkan Jootawan Group Sdn Bhd.

“Syarikat ini bukan sekadar mengekalkan perniagaan di Internet sebagai sumber pendapatan utama, sebaliknya bagi mengendalikan bengkel serta seminar kepada individu yang berminat menjana pendapatan menggunakan Internet,” katanya. Muhammad Ammar berkata, sehingga kini dia boleh berbangga kerana mampu memperoleh pendapatan lebih RM100,000 sebulan secara tetap dan membuktikan impiannya satu ketika dulu untuk menjadikan Internet sebagai sumber pendapatan tepat, sekali gus menyangkal gurauan sinis rakan yang pernah memperlekehkannya.

“Kalau nak ikutkan, masa mula-mula terbabit dalam perniagaan Internet, ramai memperlekeh impian saya. “Namun kini saya dapat buktikan Internet mampu mengubah hidup seseorang yang pandai mencari peluang,” katanya.
Sumber: Harian Metro