Hidup Adalah Perjuangan

Di antara ciri orang mukmin yang sejati ialah berjuang  pada jalan Allah dengan harta  dan nyawa ( harta kekayaan dan jiwa raga ) , sesuai dengan firman Allah swt. yang mafhumnya : “  Berjuang dengan hartabenda  dan diri pada jalan Allah “.

( QS al-Hujrat ayat 15 ).

Sejak zaman permulaan  perkembangan Islam, isteri Rasulullah saw., Siti Khadijah, telah menunjukkan  satu contoh tentang kesediaan  mengeorbankan hartabenda  itu untuk kepentingan  jihad ( perjuangan )  pada jalan Allah ( Islam ).  Tidak sedikit jumlahnya kekayaan Siti Khadijah  yang didermakan untuk kelancaran Dakwah Islamiyah .

Abu Bakar Siddiq adalah seorang hartawan  yang banyak mengorbankan hartabendanya  terhadapa perjuangan  Islam, sehingga  Rasulullah merasa cemas  kalau-kalau Abu Bakar Siddiq  kekurangan harta untuk memenuhi kewajiban nafkah kaum keluarga dan anak-anaknya, sebab terlalu banyak  yang disumbangkannya untuk kepentingan menegakkan Islam.

Pada suatu ketika, Rasulullah saw.bertanya kepada Abu Bakar : “ Apakah lagi (hartabenda) yang akan engkau tinggalkan untuk anak-anakmu, ya Abu Bakar ?”.

Abu Bakar menjawab : “ Saya tinggalkan ( untuk anak-anak saya )  Allah dan rasulNya “.

Umar bin Khattab adalah juga seorang hartawan yang paling dermawan. Memperhatikan kedermawanan Umar ini, maka Rasulullah Saw. pernah juga mengajukan pertanyaan kepadanya : “ Apakah yang akan engkau tinggalkan , ya Umar , untuk kaum keluargamu ?”

Umar bin Khattab menjawab : “ Saya tinggalkan untuk mereka itu separoh kekayaan saya “.

Usman bin Affan , pada masa terjadi krisis ekonomi di Madinah, telah memasukkan  bahan makanan dari negeri Syam, yang mana dibawa oleh 1000 ekor unta , dan kesemuanya  disumbangkannya untuk ummat yang sedang mengalami kebuluran dan menderita ? Ketika terjadi peperangan  Tabuk , Usman bin Affan jualah yang telah memberikan sumbangan  yang luarbiasa jumlahnya, sehingga Rasulullah saw. menadahkan tangan baginda dengan berdoa : “  Ya Allah ! berikanlah redaMu kepada Usman. Sesungguhnya saya cukup puas dan reda (atas pengorbanannya) itu”.

Adapun perjuangan fie Sabilillah ( perjuangan pada jalan Allah )  secara fizikal telah ditunjukkan  oleh Bilal bin Rabah , yang mana ia diseksa  dan dianiaya oleh majikannya, Umayyah bin Khalaf, kerana dia telah berani memeluk Islam. Dia dibogelkan, diikat tangan dan kakinya, ditimpa dengan batu besar di atas dadanya, dijemur pada panas matahari yang begitu terik, dipaksa supaya ia murtad  kembali, tetapi dia tetap berkata : “ Ahad!Ahad! Allah Esa ! “

Beratus-ratus  jumlahnya para Sahabat dan pejuang-pejuang Islam lainnya yang memandang  kecil erti maut, tidak gentar menghadapi tiang gantung, reda hancur dan luluh  laksana lilin, kerana mempertahankan akidah dan iman.

Wallalhu A’lam

Sumber: hikmah.org.my