Tinggalkan Kerjaya PTD di Sektor Awam Untuk Menjadi Usahawan

Bisnes T-Shirt Salam Sejahtera..

Kali ini penulis ingin berkongsi cerita yang diambil dari rencana Majalah Metro iaitu motivasi dan ispirasi kepada usahawan dan bakal usahawan. Selepas berkhidmat selama setahun setengah sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik ( PTD ) Wan Nur IIani Wahed dan suaminya Abdullah Amran , mula menjual baju- T berjenama sendiri, IIanicious dan Couple T-Shirt Malaysia (CTM) secara dalam talian untuk mencari wang sampingan. Tambahan pula, kedua – duanya memang meminati fesyen dan rekaan baju- T menarik. Atas keyakinan yang tinggi, pasangan ini berani mengambil keputusan berhenti kerja.

Mereka memilih untuk menjadi usahawan walaupun kerjaya keusahawanan mempunyai risiko untuk mengalami kerugian. Mereka tahu bahawa ‘ sebuah kapal paling selamat berada di pelabuhan. Namun, adakah itu tujuan kapal dicipta ?

Orang yang merasakan dirinya mempunyai potensi yang tinggi akan menceburi bidang ini walaupun ia mempunyai risiko yang tinggi. Profesion ini menjanjikan pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan kerja makan gaji.

Kami percaya rezeki Allah SWT ada dalam bidang perniagaan yang ceburi. Selain itu, kami mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan yang boleh menjana pendapatan yang agak banyak dalam masa singkat. Bukan itu sahaja, kami dapat melakukan aktiviti disukai setiap hari dan bebas mengatur hala tuju kerjaya semasa usia muda.

Menceburi bidang perniagaan sejak akhir tahun 2012, pelbagai suka dan duka ditempuh bersama sekali gus menguatkan semangat untuk terus bersaing secara positif dengan usahawan lain. Malah pasangan ini pernah diejek segelintir rakan yang memandang rendah usaha mereka untuk memiliki baju- T jenama sendiri. Niat murni dan cita-cita yang tinggi untuk mengeksport produk keluaran jenama sendiri hingga ke luar negara juga disalah anggap.

Ketika baru bermula, kami perlu mengorbankan banyak masa termasuk untuk bercuti  dan beriadah apatah lagi ketika itu  masih bekerja. Kami perlu bijak menguruskan masa antara perniagaan dan tugasan sebagai PTD. Kami pernah merasai kesusahan seperti bermalam di kedai bagi menyiapkan tempahan pelanggan. Selepas waktu pejabat, kami segera ke kedai sehingga jam 3 pagi untuk menguruskan tempahan. Selain itu, kami juga pernah berhadapan dengan kakitangan yang pecah amanah dan mencuri duit hingga menyebabkan kerugian. Apapun pelbagai masalah dilalui dirasakan begitu mudah kerana perniagaan diusahakan bersama suami lantas boleh berkongsi segala masalah.

Masalah itu pula langsung tidak melemahkan semangat pasangan itu malah ia menjadi pembakar semangat untuk lebih berusaha dengan gigih. Jauh di sudut hati, dia begitu bersyukur kerana kerja kerasnya bersama suami berbaloi apabila dalam tempoh tiga bulan berniaga secara dalam talian, mereka mendapat pulangan yang memberangsangkan.

Memang membanggakan apabila jenama mereka akhirnya dikenali hingga ke luar negara termasuk Singapura  dan Brunei serta memiliki pengedar di seluruh Malaysia. Perbezaan ketara ketika bertugas sebagai PTD dan berniaga sangat dirasai. Dulu kami hanya berkhidmat dalam jabatan bagi mencapai misi dan visi manakala setiap perkara dilakukan tertakluk kepada pekeliling hingga menghadkan potensi sebenar diri. Namun apabila bergelar usahawan, kami bebas mengatur langkah tanpa sebarang halangan dengan tujuan membina organisasi sendiri.

Mahu tidak mahu mereka perlu sentiasa memberikan idea yang menarik dalam menghasilkan rekaan baru yang menjadi punca utama pendapatan. Kini, mereka boleh mencatur hala tuju syarikat mengikut keupayaan dan daya kreativiti sekali gus menggunakan tenaga muda dan potensi yang ada pada kadar maksimum.

Baginya, bukan mudah untuk mendapat kepercayaan pelanggan membabitkan kualiti apatah lagi ia bermula dengan perniagaan secara dalam talian. Persediaan awal yang utama adalah mengenal pasti minat dan sesuaikan dengan permintaan pasaran ketika ini. Selain itu, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk bersedia menghadapi masalah dan menanganinya dengan cara terbaik.

Pada masa sama, usahawan perlu mengukuhkan pertahanan mental dan fizikal kerana menceburi bidang perniagaan bukanlah perkara mudah. Nasihatnya kepada generasi muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan agar mereka benar- benar yakin dengan kerjaya pilihan. Lakukan dengan bersungguh –sungguh dan sepenuh hati hingga mampu mendapat pulangan yang diingini. Usaha berserta doa juga pasti menemui jalan kejayaaan. Baginya, lebih baik berhenti kerja dan fokus dalam perniagaan sepenuh masa daripada separuh masa tapi tidak komited atau hanya hangat- hangat tahi ayam.

Baju – T jana puluhan ribu ringgit sebulan.

Ketika mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan, Wan Nur Iilani sudah lama memasang niat untuk memiliki baju- T jenama sendiri tetapi tidak berkesempatan kerana tiada peluang, modal dan masa mencukupi. Kemudian, saya berkenalan dengan suami ketika melaporkan diri untuk berkhidmat sebagai PTD sebelum berkahwin enam bulan kemudian. Selepas berkahwin, suami memulakan pernigaan kafe siber di Taiping untuk mencari wang sampingan. Namun, tanpa disangka ia berjaya mendapat pulangan memuaskan dalam masa singkat. Kejayaan suami membuatkan saya berkobar-kobar dan berkeyakinan untuk turut serta membuka perniagaan sendiri, katanya.

Pada penghujung 2012, dia mula berjinak – jinak dengan perniagaan secara dalam talian yang hanya memberi fokus  kepada koleksi baju- T wanita gaya jalanan. Disebabkan permintaan yang tinggi, dalam masa tiga bulan selepas itu, mereka mengambil keputusan berhenti kerja secara serentak untuk memberi fokus dalam perniagaan. Untuk memantapkan perniagaan, mereka membuka butik baju yang beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 7 malam selain memiliki kilang cetak sendiri di Ipoh.

Bermula sejak itu, jenama berkenaan terus mengeluarkan koleksi baju-T dengan pelbagai konsep untuk semua peringkat usia dan jantina. Kini, dia berasa gembira kerana mampu menjana pendapatan hampir RM 60,000 sebulan. Bagi menolak persepsi buruk dan masyarakat yang suka memandang rendah jenama tempatan, mereka banyak melakukan teknik penjenamaan seperti membuat label jenama sendiri untuk lebih dihargai.

Setelah setahun beroperasi secara rasmi, mereka merancang untuk membuka butik CTM di seluruh Malaysia, menaik taraf kualiti baju dan cetakan sedia ada. Di samping itu, mereka juga cuba memasuki pasaran antarabangsa seperti Australia dan Eropah selain memperkenalkan rekaan baru mengikut trent terkini.