Taubat Lelaki Pembunuh 99 Nyawa

Taubat Lelaki Pembunuh 99 Nyawa
Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang amat terkenal dengan kejahatannya. Kerjanya bersama – sama kawan yang lain ialah merompak, mencuri dan bermacam – macam perbuatan keji yang lain. Namun semua kemaksiatan itu tidak menandingi kejahatannya yang satu ini. Dia merupakan seorang pembunuh yang amat kejam. Dia telah membunuh sebanyak 99 orang.

Semua penduduk di negeri tersebut mengenalinya sebagai pembunuh dan perompak. Mereka takut untuk menasihatinya kerana bimbang nyawa mereka sendiri akan terancam.

Pada suatu hari, timbullah rasa penyesalan di dalam diri lelaki tersebut. Dia berasa insaf di atas segala kejahatan yang telah dilakukan. Dia ingin segera bertaubat dan berhenti daripada pekerjaan kejinya itu. Untuk itu dia telah mendatangi seorang ahli ibadat lalu bercerita kepadanya tentang masa lampaunya yang hitam itu.

Tujuannya adalah untuk mengetahui adakah dia masih boleh bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik. Lelaki itu lalu bertanya: “ Wahai tuan guru, adakah setelah sekian banyak dosa yang aku lakukan itu, Allah masih sudi menerima taubatku?’

Rupanya tuan guru yang dijumpainya itu belumlah lagi cukup ilmu di dadanya. Dia lalu menjawab: “ Wah! Sungguh ramai sekali yang engkau bunuh, sudah tentu Allah tidak akan mengampunkan kamu disebabkan dosamu yang begitu besar?’

Jawapan yang diberikan oleh tuan guru itu sebaliknya menaikkan rasa marahnya. Ini kerana niatnya untuk bertaubat seolah – olah sudah tertutup rapat. Disebabkan rasa marah, dia lalu bertindak membunuh pula guru tersebut sehingga mencukupkan 100 nyawa yang dibunuhnya.

Walaubagaimanapun, lelaki itu menyesal telah membunuh 100 nyawa, dia masih mahu meneruskan niatnya untuk bertaubat. Lelaki itu lalu meneruskan perjalanannya menuju ke sebuah kampung. Akhirnya dia bertemu dengan seorang lagi guru yang lebih alim.

Lelaki itu lantas bertanya: “ Wahai tuan guru, aku telah membunuh 100 nyawa termasuk yang terakhir iaitu seorang guru agama. Adakah Allah masih mahu menerima taubatku?”

Guru yang alim ini lebih bijak daripada guru pertama yang telah dibunuh. Dia lalu menjawab dengan nasihat yang panjang: “ Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tentu sahaja engkau akan diampuni. Bertaubatlah sekarang juga. Cuma aku ingin menasihatimu, jauhilah dirimu dari teman – temanmu yang jahat dan carilah kawan – kawanmu daripada mereka yang soleh dan baik, kerana teman yang jahat akan mendekatkanmu kepada dosa dan neraka sedangkan teman yang soleh akan mendekatkanmu kepada pahala dan syurga.”

“ Engkau juga haruslah meninggalkan negeri ini kerana kejahatan masa lalumu itu telah diketahui oleh orang ramai di sini, pergilah ke negeri lain yang tiada siapa pun mengenalimu.” Tambahnya lagi.
Mendengarkan nasihat dari guru itu, lelaki itupun segeralah bertaubat dan menyesali akan segala dosa – dosanya. Ia menangis memohon keampunan daripada Allah. Dia juga menjauhi teman – temannya yang jahat. Dia lalu memulakan langkahnya menuju ke sebuah negeri yang diketahui ramai mempunyai orang – orang yang baik dan soleh.

Namun begitu hajatnya untuk bertaubat tidak kesampaian. Ketika dalam perjalanan untuk ke perkampungan itu dia tiba – tiba telah terjatuh lalu akhirnya meninggal dunia.
Pada waktu itulah kedua malaikat yang membawa rahmat dan malaikat yang membawa azab telah berbeza pendapat tentang roh lelaki tersebut. Masing – masing mengatakan bahawa merekalah yang berhak terhadap roh lelaki tersebut.

Malaikat rahmat berkata: ‘Lelaki ini telah bertaubat dan layak mendapat rahmat. Dia juga telah melakukan sesuatu bagi melaksanakan taubatnya iaitu menuju ke negeri orang – orang yang soleh.”
Manakala malaikat azab pula berkata: “ Mana boleh, dia telah melakukan banyak dosa dan tidak pula sempat untuk melakukan sebarang ibadat. Dia mesti diazab di dalam neraka.” Begitu perdebatan antara kedua – dua malaikat yang mana kedua – duanya berasakan bahawa merekalah yang betul.

Setelah tiada penyelesaian di antara kedua malaikat tersebut, Malaikat Jibril sebagai ketua para malaikat pun menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya Jibril memutuskan untuk mengukur jarak antara kedua – dua tempat iaitu jarak antara negeri yang ditinggalkan dan negeri tempat orang soleh yang dituju oleh pemuda tersebut.

Jika mayatnya dekat dengan negeri yang ditinggalkan dahulu dia akan mendapat azab. Manakala jika mayatnya lebih dekat dengan negeri yang ditujunya maka dia layak mendapat rahmat.
Setelah diukur maka jelaslah bahawa jasadnya lebih dekat dengan negeri yang ditujunya iaitu negeri dimana dia mahu berubah menjadi orang yang soleh. Akhirnya rohnya diambil oleh malaikat rahmat yang menunjukan bahawa taubatnya itu telah diterima oleh Allah dan tergolong juga di dalam mereka yang beriman walaupun dia telah membunuh 100 nyawa.

Pengajaran Cerita : Pintu taubat terbuka luas untuk kita dan kita perlu segera untuk bertaubat kepada Allah. Nak pengajaran lagi ? Baca cerita diatas sekali lagi. 