Simbol Kekayaan Palsu

jam tangan tissot

Suatu ‘penyakit’ yang belum hilang dari dunia ini, walaupun ubatnya sudah ada, ialah penyakit ingin menayangkan diri sebagai individu yang menggunakan barangan berjenama mahal. Ramai orang yang masih membeli simbol – simbol kekayaan palsu bagi memastikan orang lain nampak dirinya kaya atau mempunyai status orang berada.

Salam Sejahtera…

Dewasa ini, ramai orang yang terpengaruh untuk memiliki gajet – gajet terkini, supaya dirinya dilihat sebagai orang yang mengikuti perubahan zaman.  Wang yang dimiliki sudah tidak lagi dapat dilaburkan seperti di dalam akaun emas, gara – gara berasa malu apabila masih menggunakan telefon bimbit model lama, bukannya telefon pintar.

Mahal Kerana Jenama

Ketika memilih pakaian pula, sebilangan remaja berhabis duit sama ada duit pinjaman pendidikan ataupun duit daripada ibu ayah sendiri semata –mata ingin membeli pakaian yang berjenama.

Ada yang berkata: ‘Alah membeli, menang memakai”, iaitu walaupun pakaian yang berjenama itu mahal, tetapi lebih tahan lama. Ini merupakan persepsi yang kurang tepat , tidak semua barangan yang mahal itu berkualiti.

Kadangkala baju yang mahal itu bukan disebabkan oleh kualiti, sebaliknya hanya kerana jenama. Kain daripada kualiti yang sama dijual pada harga yang berbeza apabila salah satu daripada kain itu diletakkan jenama dan kelihatan mewah.

Orang yang merasakan dirinya “ mahal” tidak memerlukan benda – benda mahal untuk diletakkan di sekeliling mereka. Mereka menggunakan wang untuk membeli barang keperluan sahaja dan suka bersedekah. Anatara contoh teladan yang boleh diikuti adalah seperti Sayidina Abu Bakar al- Siddiq yang menginfakkan banyak hartanya untuk meraih keredaan Allah.

Bagaimana kita ingin menjadi ‘mahal’ ?

Panduan Jangan Tertipu Dengan Simbol Kekayaan Palsu

1. Banyakkan Membaca Buku – Buku Bermanfaat.

Penerbitan seperti Telaga Biru, antara penerbit yang banyak menerbitkan buku yang membantu kita meningkatkan lagi nilai diri.

Semakin banyak input yang diperoleh daripada bacaan, insya – Allah semakin kurang risiko kita mahu menunjuk – nunjuk atau riyak. Panduan ini bukan sahaja menjimatkan wang, malahan menyelamatkan diri daripada dicampak ke neraka nanti.

2. Banyakkan berkawan Dengan Orang Yang Sudah Berusia.

Perkara ini membantu kita untuk melihat masa depan, kerana masa tua itu ialah masa depan kita. Berdamping dan berkawan dengan mereka menjadikan kita sukar tertipu dengan muslihat dunia. Mereka lebih dahulu makan garam. Melalui pengalaman mereka, kita boleh berfikir semula daripada berbelanja melebihi keperluan yang sepatutnya.

3. Banyakkan Berfikir.

Sebelum kaki dan tangan bertindak mahu membeli itu dan ini, gunakanlah akal untuk berfikir sebelum membuat keputusan pembelian. Jika malas berfikir, otak tidak berkembang dari sudut mencapai kebijaksanaan.

4. Amalkan Doa.

Antara doa yang boleh diamalkan seperti: ‘ Ya Allah, kurniakanlah kepadaku dengan kefahaman para Nabi, hafalan para rasul, ilham para malaikat yang hampir dengan- Mu. Wahai Allah Yang Maha Pembuka lagi Maha Mengetahui, bukankanlah hati kami seperti orang yang arif lagi bijaksana.”

REMAJA MATANG

Daripada empat panduan di atas, para pembaca akan dapat melihat perbezaan apabila mengamalkannya. Walaupun kita masih remaja, orang melihat kita sebagai seorang yang matang, atas pilihan dan tindakan membelanjakan setiap ringgit yang kita peroleh dengan bijaksana.

Contoh yang mudah, sekiranya kita hanya memerlukan perkhidmatan untuk menelefon dan SMS, kita boleh memilih jenis telefon bimbit yang sesuai dengan keperluan tersebut, tanpa dipengaruhi rasa rendah diri dan malu. Walaupun telefon jenis tersebut tidak sehebat model telefon pintar.

Masukkan duit lebihan daripada berjimat ini untuk melabur dalam akauan emas kita di bank, wallahua’lam. Didoakan semoga terus berjaya dalam usaha melabur.

Sumber: Majalah Gen – Q