Sifat Tamak Biasanya Memakan Diri Sendiri

klinik motivasi emas

Salam Sejahtera..

Ini merupakan post pertama tahun baru masihi 2015. Dan saya mempunyai azam tahun ini untuk menulis lebih kerap di blog klinik motivasi com ini terutama tentang cerita – cerita berkaitan seputar kehidupan dan motivasi kehidupan.Ceritanya bermula pada suatu masa dahulu ada seorang lelaki yang fasik datang menemui seorang wali Allah. Dia ingin sekali bersahabat dengan wali tersebut. “ Aku ingin sekali bersahabat denganmu dan mengikuti kemana saja kamu pergi” kata lelaki itu. “ Baiklah kalau begitu kehendakmu.” Jawab wali.

Pada suatu hari berjalanlah mereka berdua di tepi sebatang sungai lalu membuka bekalan makanan iaitu tiga potong roti. Wali itu memakan sepotong, lelaki itu sepotong dan bakinya sepotong. Ketika wali itu pergi meminum air di sungai, lelaki itu telah memakan baki roti tersebut. Sekembali semula wali itu mendapati baki roti yang sepotong itu telah tiada. Dia lalu bertanya kepada sahabatnya: “ Siapakah yang telah mengambil sepotong roti tadi?” “ Entah, aku tidak tahu.” Jawab lelaki itu berbohong.

Mereka berdua meneruskan perjalanan. Tiba – tiba mereka melihat seekor rusa dengan dua anaknya. Wali itu lalu memanggil salah seekor dari anak rusa itu lalu disembelih dan dibakar untuk menjadi makanan mereka. Setelah mereka makan, wali itu dengan izin Allah telah Berjaya menghidupkan semula anak rusa yang telah mati dimakan itu. Wali itu bertanya: “ Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti kekuasaan-Nya itu, aku bertanya kepadamu siapakah yang mengambil sepotong roti itu?” Jawab sahabatnya: “ Entah, aku tidak tahu.”

Kemudian mereka berdua meneruskan perjalanan hingga sampai ke tepi sebatang sungai, lalu wali itu memegang tangan sahabatnya dan mengajaknya menyeberang dengan berjalan di atas air hinggalah sampai ke seberang. Sebaik sahaja sampai ditanyalah sahabatnya itu sekali lagi: “ Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti kekuasaan-Nya ini, siapakah yang telah mengambil sepotong roti itu?” Namun begitu sahabat itu menjawab: “Aku tidak tahu.”

Kemudian mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga sampai di sebuah hutan. Ketika keduanya sedang duduk berehat, wali itu mengambil tiga ketul anak batu, lalu berkata: “ Wahai batu, jadilah emas dengan izin Allah.”
Maka dengan tiba – tiba batu – batu kecil itu berubah menjadi emas. Kemudian wali itu berkata: “ Kita bahagikan emas ini, satu untukku, satu untukmu, dan yang lagi satu ini untuk orang yang telah mengambil roti.” Serentak dengan itu sahabat yang tamak itu terus menjawab: “ Yang sebenarnya akulah yang mengambil roti itu.”

Yang sebenarnya wali itu sudah mengetahui akan sikap sahabatnya itu. Walaupun telah ditunjukkan pelbagai peristiwa pelik, lelaki itu tetap dengan perangainya yang tidak mahu mengambil iktibar. Wali itu lalu berkata: “ Kerana sikapmu yang tamak, aku tidak mahu lagi kamu mengikutiku. Tapi kerana kamu bercakap benar, ambillah semua tiga ketul emas ini kepadamu.” Lelaki tamak itu gembira kerana telah mendapat tiga ketul emas. Lalu mereka berduapun berpisah.
Sedang dalam perjalanan lelaki itu disekat pula oleh dua orang lelaki yang mahu merompaknya. Lelaki itu lalu berkata: “ Tolonglah jangan kamu membunuhku, aku mempunyai tiga ketul emas, apa kata jika kita bahagikan seorang seketul emas ini.”Kedua perompak itu bersetuju. Mereka bertiga lalu menjadi sahabat. Ketika mereka bertiga sedang berehat, seorang dari perompak itu menyuruh salah seorang daripada mereka pergi ke pekan berhampiran untuk membeli makanan.

 

Dalam perjalanan setelah membeli makanan, lelaki tersebut berfikir: “ Untuk apa aku membahagikan emas itu, lebih baik makanan ini aku letakkan racun saja biar keduanya mati dan aku akan mendapat semua emas itu.” Lalu diletakkannya racun pada makanan kedua sahabatnya itu.
Sementara itu pula kedua sahabatnya yang tinggal itu pula rupanya turut membuat rancangan: “ Untuk apa kita membahagikan harta ini, apa kata jika kawan kita pulang nanti, kita bunuh sahaja dia, lalu harta itu kita bahagikan antara kita berdua.”

Maka sebaik sahaja sampai lelaki yang membeli makanan itu, dia segera dibunuh oleh kedua kawanya. Setelah itu tanpa sebarang syak mereka berduapun memakan makanan yang beracun itu. Akhirnya ketiga – tiga lelaki itu mati akibat ketamakan mereka sendiri.
Seketika kemudian wali yang sedang dalam perjalanannya menemui mayat ketiga – tiganya beserta ketulan emas di sisi mereka. Dia lalu berkata di dalam hatinya: “ Inilah dunia, berhati – hatilah kamu kepadanya.”