Perjalanan Mencari Hidayah

dunia yang sementara
Imam Ghazali atau nama sebenarnya, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Ghazali dilahirkan di Tusia Khurasan pada tahun 1058 masihi. Ayah beliau adalah seorang pemintal benang ( al- ghazul ). Oleh itu, beliau dikenali sebagai ‘Al- Ghazali’. Usia mudanya digunakan bagi menimba ilmu daripada ulama – ulama yang terkenal dari serata pelosok negeri seperti Imam al- Haramain Juwaini. Imam Ghazali menunjukkan kecerdasan mindanya dengan menulis sebuah buku berjudul Al – Mankhul semasa masih menuntut dengan Imam Haramain.

Hasil kegigihan beliau, Imam Ghazali menjadi terkenal kerana ketinggian ilmunya. Fatwa dan pendapatnya menjadi rujukan para pemerintah. Ketika inilah nafsu terhadap pangkat dan harta menguasai diri Imam Ghazali. Oleh kerana kepetahannya berhujah, Ghazali bersikap sombong. Beliau sering merendah – rendahkan orang lain. Sikap kebanyakan ulama lain yang mendampingan pemerintah juga mengutamakan kedudukan berbanding kepentingan agama.

Keadaan ini menimbulkan kesedaran dalam hati Imam Ghazali bahawa kehidupan dunia mengaburi matanya. Lalu, beliau bertekad mahu memencilkan diri daripada masyarakat bagi membersihkan jiwanya dari sikap cintakan dunia. Sekali lagi beliau mengembara bagi mematangkan fikiranya. Semasa beliau menjalani proses pembersihan jiwa, beliau mengarang kitab Ihya’ Ulumuddin yang kemudiannya menjadi kitab rujukan bagi membersihankan jiwa.

Selepas Imam Ghazali berjaya membersihkan jiwanya dari sikap cintakan dunia, beliau kembali ke dalam masyarakat dan melakukan reformasi bagi menyelamatkan umat Islam daripada terus hanyut dibuai kemewahan dunia. Kaedah reformasi Imam Ghazali disandarkan kepada kenyataan Allah dalam Quran yang bermaksud, “ Apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” Justeru beliau lebih menumpukan kepada memperbaiki diri berbanding menyalahkan pengaruh luar.

Akhirnya Imam Ghazali bukan sahaja menjadi terkenal kerana kehebatan berhujah dan ketinggian ilmunya, malah kerana ketakwaannya kepada Allah.