Penjual Ikan Segar yang Budiman

Penjual Ikan Segar
Pak Azman sibuk menyiapkan gerainya untuk menjual ikan. Hari ini dia merancang untuk mengiklankan ikan yang dijualnya dengan menggunakan sebuah papan hitam kecil yang tertulis, ‘Di sini Ada Dijual Ikan Segar’.

Tidak lama kemudian, datang Azizan, pengunjung pertama. Setelah Azizan meneliti papan kecil di gerai Pak Azman, dia pun memberi pandangan.

“Begini, Pak Man, Pak Man tak perlu tulis perkataan, “Di sini’ sebab memang Pak Man tak jual ikan ‘ Di sana’, betul tak ?”

Pak Azman mengangguk – angguk setuju dengan pendapat Azizan itu. Tanpa berfikir panjang, dia memadam perkataan ‘Di sini’ dan yang tinggal hanyalah perkataan ‘ Dijual Ikan Segar’.

Selang beberapa minit kemudian, datang pula pengunjung kedua, iaitu Ravi. Setelah terlihat iklan Pak Man, dia terus memberi kan pendapatnya.

“Minta maaf, Pak Man. Rasa – rasanya tak perlulah Pak Man tulis perkataan ‘Segar’ pada papan tulis tu sebab memang semua orang tahu ikan yang Pak Man jual segar – segar belaka!”

Pak Man berfikir – fikir semula. Memang betul kata Ravi itu. Ikan yang dijual bukannya yang busuk, malah baru sampai daripada peraih ikan. Dia kembali membetulkan iklannya dan tinggallah perkataan ‘Jual Ikan.’

Seminit kemudian, datang pula pengujung yang ketiga iaitu Chong. Sama seperti pembeli yang lain, dia turut tertarik dengan kenyataan yang tertulis pada papan tulis Pak Aman. “ Pak Aman, kenapa mesti tulis perkataan ‘Jual ‘ tu ? Semua orang tahu ikan ni untuk dijual, bukan untuk dipamerkan.”

Pak Man terkedu seketika. “ Betul juga kata – kata Chong tu,” fikir Pak Man lalu dipadamkannya pula perkataan ‘Jual ’. Tinggallah perkataan ‘Ikan’ pada papan iklan Pak Man kini.

Selang beberapa minit kemudian, datang pula pengunjung yang keempat, iaitu Azhar yang turut tertarik dengan papan iklan Pak Man itu. Kemudian dia pula memberikan pendapat; Pak Man, boleh saya tanya kenapa Pak Man tulis perkataan ‘ ikan’ pada papan tulis tu?”

“Sebab saya jual ikan!” jawab Pak Man.
“Cuba Pak Man tengok sekeliling Pak Man sekarang. Bukan ke semua gerai di sini jual ikan? Yang jual daging semuanya sebelah sana. Yang jual sayur pula di sana. Kenapa mesti tulis ikan?”

Pak Man menggeleng – geleng. Memang benar apa yang dikatakan oleh Azhar kerana semua orang tahu dia menjual ikan. Akhirnya, Pak Man menurunkan papan iklannya itu dengan perasaan kecewa.

Begitulah kisah Pak Azman, penjual ikan yang ternyata cuba memuaskan hati semua orang. Dia mengiakan sahaja pendapat semua pelanggannya tanpa berfikir tentang tujuan, kehendak dan kepuasan hatinya sendiri.
Sekian sahaja untuk kali ini.

Oh ya nama watak dalam cerita tiada kaitan dengan hidup atau yang telah meninggal dunia. 🙂

ps: Cerita yang mempunyai kaitan dengan cerita ini iaitu takut kena kritik apa nak buat.