Pengajaran Daripada Hari Semalam

Hisyam Den
Kita sewajarnya mengambil pengajaran daripada hari semalam dan hari – hari yang lepas. Ini kerana, malam dan siang sudah berlalu telah menukarkan setiap yang baru menjadi lusuh, menambahkan usia kita, iaitu muda menjadi tua, dan selepas tua kita akan meninggal dunia.

Masa adalah sesuatu yang pantas perjalanannya. Sekiranya ia sudah berlalu, ia tidak kembali dan tidak boleh diganti lagi. Oleh itu, ia adalah ‘anugerah’ kepada manusia yang paling berharga dan sangat mahal. Sehubungan dengan itu, asas kepada bernilainya masa adalah, ia menjadi bekas kepada segala amalan dan pengeluaran.

Hakikatnya yang perlu kita tahu adalah, masa adalah ‘modal’ sebenar untuk manusia sama ada individu ataupun kumpulan.
Masa bukan hanya seperti emas seperti yang dikatakan oleh orang Melayu kita. Bahkan, ia adalah sesuatu yang lebih mahal daripada emas, permata, dan intan.

“Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya.” – As-Syahid Hasan Al – Banna

Dalam konteks masa yang lain, Hasan Al- Basri ada menyebutkan, “Wahai anak Adam, kamu adalah himpunan hari –hari, setiap kali berlalu satu hari, berlalulah sebahagian daripada kamu.”

Seorang penyair silam berkata:

“Yang kecil menjadi dewasa dan tua binasa,
Dengan silih berganti pagi dan petang,
Apabila malam melanjutkan usianya,
Pergilah selepas itu hari muda.”

Orang yang HEBAT dan BERJAYA tidak harus membiarkan masanya berlalu dan bersilih ganti antara malam dan siang tanpa mengambil sebarang pengajaran dan renungan. Setiap hari yang berlalu, setiap jam yang pergi, bahkan setiap detik yang tamat sudah terjadi pelbagai peristiwa dalam kehidupan di catatkan oleh Malaikat di kiri dan kanan kita.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda – tanda kekuasaan Allah untuk orang – orang yang berakal. ( Surah Ali Imran, ayat 190 )

Sehubungan dengan itu, ada yang dapat kita lihat dan ada yang tidak. Ada yang diketahui oleh kita dan ada yang tidak diketahui. Ia terdiri daripada bumi yang dibangunkan, benih yang mengeluarkan hasil, tumbuhan yang masak, bunga yang berbuah, buah yang dipetik, janin yang terbentuk, bayi yang dilahirkan, anak menjadi pemuda, pemuda menjadi dewasa, dewasa bertukar tua, dan yang tua meninggal dunia.

Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran untuk yang celik mata hati. ( Surah An-Nur, ayat 44 )

Dalam setiap keadaan itu terdapat tanda untuk orang berakal , peringatan kepada orang mempunyai hati, dan pengajaran kepada orang yang mempunyai penglihatan. Sesiapa yang tiada pemikiran orang tidak bijak, perasaan orang yang mempunyai hati, pandangan orang yang celik, kejadian pertukaran malam dan siang tidak memberikan sebarang faedah kepadanya.