Panduan Memulakan Bisnes Sendiri oleh Puan Ainon Mohd

Puan Ainon Mohd
Masuk bisnes dengan melakukan self-employment. Istilah Melayunya ‘ bekerja sendiri ‘. Kita mencari rezeki dengan bekerja sorang-sorang. Kitalah towkay. Kitalah kuli. Contoh self-employment adalah apabila kita menjalankan bisnes secara free-lancing. Ada jenis aktiviti self-employment yang cepat dapat duit, ada yang lambat. Bisnes pertama yang ideal adalah bisnes yang cepat dapat duit bagi menampung keperluan harian. Buat simpanan, supaya kita ada modal bagi memulakan bisnes kedua.

Bisnes pertama yang ideal adalah menjual servis kepada klien jenis orang berduit. Pilih bisnes servis yang kita sendiri dapat melakukan servis itu. Servis itu tidak menggunakan peralatan mahal. Skill servis itu mudah dipelajari. Yuran belajar servis itu murah. Servis itu mudah dijual kepada klien berduit. Bisnes pertama yang mudah dimulakan adalah jenis personal servis. Salah satu servis jenis ini adalah apa yang disebut ‘personal shopper’.

Salah satu halangan psikologi hendak memulakan bisnes pertama adalah isu tidak pandai hendak membuang rasa malu! Isu ini makin payah apabila kita mempunyai ijazah, ataupun kita pernah makan gaji di syarikat besar. Makin tinggi ijazah, makin malu. Makin tinggi jawatan, makin malu.

Berikut adalah tip membuang perasaaan malu hendak mula berniaga. Juallah barang murah, tetapi barang itu sangat mudah dijual. Jangan pilih barang mahal. Barang yang mahal lebih sukar menjualnya. Apabila orang tak mahu membeli, nanti kita malu. Juallah barang itu kepada orang yang langsung kita tidak kenal. Kita kurang malu menjual kepada orang yang tak dikenali. Kalau orang itu tidak mahu membeli pun tak apa.

Juallah di mana di situ ada banyak peniaga-peniaga kecilan lain pun berjualan juga, macam kita juga. Apabila kita tengok banyak orang lain pun berjualan, kita rasa kurang malu.

Seandainya kita mahu membuka bisnes yang melibatkan jual-beli barang, jumlah modal jangan lebih daripada RM 2000. Jika barang tidak laku, bisnes tidak menjadi, duit modal habis terbakar, kita masih dapat bangkit semula dan mencuba lagi. Apabila bisnes pertama kita adalah jenis personal-servis, jangan buat bisnes itu lebih daripada 4 tahun.

Contoh bisnes personal-servis:

Menjadi guru tuisyen, guru piano, mak andam, editor dll.

Menjadi personal shopper.

Menjadi juruacara majlis.

Menjadi terapis spa, pendandan rambut, tukang jahit, penghias kek, pelukis inai dll.

Bisnes personal-servis melekat pada badan kita. Apabila kita demam, poket kita pun demam. Jadikan bisnes personal-servis sebagai aktiviti mencari duit bagi memulakan bisnes baru selepas 4 tahun.

Jangan jatuh cinta kepada bisnes kita yang pertama. Jangan emosi. Bisnes adalah bisnes. Apabila kita mahu pindah ke bisnes baru, kita boleh pilih apa yang mahu dilakukan kepada bisnes pertama.

Kita boleh jual bisnes itu. Ini pilihan ideal. Gunakan duit jualan itu bagi melakukan 2 perkara: (a) Bayar semua hutang bisnes itu. (b) Gunakan sebagai modal membuka bisnes baru. Kita boleh ambil rakan-kongsi baru. Kita jual kepadanya saham majoriti. Biar dia yang teruskan. Kita tunggu dividen hujung tahun. Kita boleh tutup bisnes itu. Ini pilihan apabila tidak dapat dijual.

Apabila membuka bisnes pertama, jangan keluarkan banyak duit untuk kos renovasi. Renovasi yang mahal dan cantik menyebabkan kita menjadi emosional hendak menutup premis. Walaupun bisnes rugi, tapi kita melambat-lambatkan keputusan menutup premis kerana sayang tengok renovasi yang cantik dan mahal.

Akibatnya, kita semakin rugi! Akhirnya, premis terpaksa ditutup juga apabila tidak mampu lagi membayar sewa.

Tip berjimat pada premis…. Apabila menyewa premis, jangan buang-buang duit pada renovasi dan dekorasi. Selagi boleh, elakkan kerja-kerja mengetuk, menebuk, memecah, memasang, dan menampal apa-apa yang tidak dapat dibuka semula, diangkut, diangkat dan dibawa pindah.

Pastikan 99% bahan renovasi dan dekorasi dapat dibuka semula, diangkat, dipindahkan, dan dipasang di premis baru.

Fokus pada melakukan perkara-perkara yang betul, dengan cara-cara yang betul. Duit akan datang dengan sendirinya.

Contoh perkara-perkara yang betul:

Jual barang keperluan sahaja. Mulakan bisnes dengan modal kurang daripada RM 2000. Jangan buat sendiri produk. Jual produk orang lain. Jangan membuka kedai. Jangan meminjam duit bank.

Ingat statistik ini: Bahawa 93% bisnes tutup dalam tempoh 3 tahun selepas ia dimulakan. Dalam tempoh 5 tahun, 95% bisnes tutup. Jadi, seandainya bisnes pertama kita tidak menjadi, lalu kita tutup saja, itu normal. Tidak apa-apa.

Tutup bisnes pertama itu tidak penting! Bisnes tak jalan, mahu apa lagi? Kita tutup sajalah! Yang penting apa yang berlaku selepas bisnes pertama kita itu terpaksa ditutup saja. Apakah kita dapat cepat-cepat bangun balik, dan mencuba lagi? Ini dapat dilakukan apabila duit yang hangus itu kurang daripada RM 2000. Apakah kita jatuh terduduk dengan menanggung hutang bank yang banyak? Ini akan berlaku apabila kita telah membuka bisnes pertama itu dengan duit hutang bank.

Jangan pandang ringan kos sewa premis. Jangan yakin sangat konon kita akan mampu membayar sewa premis tiap-tiap bulan. Kos sewa premis adalah salah satu faktor yang menyebabkan banyak bisnes bungkus. Apabila pendapatan belum mampu membayar kos sewa premis, jika 3 bulan tidak membayar sewa, kita terpaksa tutup kedai.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih banyak tentang panduan memulakan bisnes sendiri sila daftar dengan klik pada gambar dibawah ini.
Kongres Sekolah Bisnes 2016

Berjumpa di sini kawan – kawan usahawan sekalian pada 2 dan 3 April 2016 di Kongres Sekolah Bisnes 2016 di TM Convention Centre, Jln. Bangsar, KL.