Panduan Memilih Program Motivasi

Salam Sejahtera…

Kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca setia blog klinik motivasi iaitu berkenaan tajuk panduan memilih program motivasi yang ditulis oleh pakar motivasi terkenal di negara kita iaitu Dr Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad di akhbar Online Metro.

Dr Asmadi mengatakan lebih 20 tahun lalu, program motivasi terutamanya bagi pelajar sesuatu yang baru. Hanya beberapa nama besar yang menjalankan program motivasi ketika itu.

Hari ini, program motivasi semakin bercambah dengan lebih ramai individu yang menceburkan diri ke dalam lapangan ini. Beliau mengatakan bahawa selaku Presiden TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia), beliau amat menggalakkan perkembangan positif ini.

Bagaimana memilih program motivasi yang bagus bagi anak-anak kita? Nama besar bukan jaminan – Ramai yang terpancing apabila individu yang ada nama besar menjalankan program motivasi. Kita perlu faham, program motivasi tidak sama dengan ceramah satu dua jam. Seseorang yang tiada pengalaman dalam bidang latihan tidak mampu mengendalikan program motivasi dengan berkesan.

Peranan seorang motivator amat berbeza berbanding peranan seorang guru, pensyarah dan penceramah. Guru dan pensyarah tugasnya mengajar. Penceramah memberikan ilmu dan meningkatkan kesedaran (awareness). Sama ada wujud tindakan atau perubahan itu bukan objektifnya, yang penting menyampaikan. Biasanya, apa yang disampaikan itu bersifat umum.
Sebaliknya motivator tugasnya menyampaikan ilmu dan menunjukkan cara (contohnya ialah cara mengambil nota yang betul) dengan membuka minda, mendorong perubahan dan peserta bertindak selepas program ke arah memperbaiki dirinya. Tidak semua penceramah boleh menjadi motivator.

Sehubungan dengan itu yuran penyertaan sesuatu yang subjektif – Berapakah yuran yang perlu dibayar? Ini adalah soalan yang bermain dalam fikiran kita. Tiada satu garis panduan khusus kerana yuran adalah subjektif bergantung kepada: Pengalaman dan kelulusan akademik motivator dan kos yang ditanggung seperti sewa dewan, promosi, modul dan bahan, makan minum, bangunan pejabat, pengurusan, kakitangan dan fasilitator.

Seterusnya kena faham objektif program – Ramai ibu bapa yang mengharapkan anak mereka berubah selepas program. Sebelum ibu bapa meletak harapan terlalu tinggi kita mestilah faham objektif program itu. Seminar motivasi Bahasa Inggeris misalnya, mendorong pelajar minat dan mahu belajar Bahasa Inggeris. Oleh itu tidak adil jika kita mahu dia berubah sikap dan positif dalam semua perkara selepas program. Contoh lain program Kem Ibadah pula bertujuan untuk mendorong anak-anak minat beribadah, faham dan tahu cara solat yang betul dan terdorong melakukan pelbagai amalan sunat. Oleh itu adalah tidak adil kalau kita mahu anak cemerlang akademiknya selepas tamat menghadiri program itu.

Pengisian dan aktiviti mestilah tidak bertentangan dengan syariah – Ada sesetengah program yang meniru pengisian dan aktiviti daripada luar negara atau barat yang tidak faham sensitiviti dan pantang larang kita terutamanya orang Melayu dan Islam. Aktiviti yang membabitkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, memalukan atau mengaib peserta, mendesak atau memaksa dan seumpamanya tidak sesuai dengan masyarakat kita.

Penceramah dan fasilitator mesti ada kredibiliti dan berintegriti – Sikap ikut apa yang saya cakap tapi jangan tiru apa saya buat tidak sesuai dalam mendidik pelajar. Biasanya, selepas tamat program, motivator akan dijadikan model ikutan, mentor serta contoh diteladani.

Oleh itu, mereka yang terlibat dengan program hendaklah terdiri daripada individu mempunyai kredibiliti tinggi serta berintegriti.

Lokasi selesa dan selamat – Apabila memilih program maka pilihlah program yang dijalankan di lokasi selesa dan selamat. Kita tidak mahu merisikokan anak-anak dengan sesuatu yang membahayakan diri mereka. Pastikan aktiviti lasak dipantau dan diajar jurulatih dan fasilitator yang bertauliah. Tempat selesa juga membolehkan peserta memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa disampaikan.

Khidmat susulan selepas program – Ibu bapa perlu memilih program dijalankan oleh mereka yang senang dihubungi apabila ada sebarang isu atau masalah. Di MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, mereka memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan khidmat susulan melalu Facebook, emel atau datang ke pejabat selepas temu janji.

Pengalaman dan testimoni satu kelebihan – Apabila memilih program maka pilihlah program yang mempunyai rekod baik kerana pengalaman tidak boleh dijualbeli. Pengalaman perlu diraih melalui berjam-jam perlaksanaan kursus dan program. Sebab itulah program yang sudah lama bertapak sering mendapat sambutan berbanding program baru diperkenalkan. Tambahan pula testimoni daripada peserta banyak dan keyakinan orang akan bertambah apabila peserta yang pernah menghadiri program sendiri mempromosikan. Untuk mengetahui lokasi serta tarikh seminar terkini motivasi alihan pelajar layari laman web di www.laman-map.com.