Nasihat daripada Anak yang Berpelajaran Tinggi

nasihat salah daripada pakar
Dia ialah seorang bapa yang gigih, bekerja kuat siang dan malam. Dia menjual sosej dan burger di tepi jalan untuk membiayai anaknya agar mendapat pendidikan tinggi di universiti luar negara. Dia meletakkan pendidikan sebagai agenda nombor satu keluarga.

Namun dia seorang yang buta huruf. Jadi dia tidak pernah membaca surat khabar. Dia juga seorang yang pekak. Jadi dia tidak pernah mendengar radio sementara matanya rabun, jadi dia tidak pernah menonton televisyen. Oleh sebab itu, penjual sosej dan burger ini langsung tidak tahu apa – apa yang berlaku di luar sana.

Atas kerja kuatnya, perniagaan tepi jalannya itu berkembang pesat. Penjualan dan keuntungannya melonjak tinggi. Dia memesan lebih banyak daging, membeli sebuah lagi dapur yang bagus dan besar serta mendapatkan seseorang untuk membantunya kerana bisnes yang semakin baik. Kemudian, anak lelakinya yang baru menamatkan pengajian di universiti turut membantunya sementara mendapatkan pekerjaan di bandar besar.

Anak lelakinya bertanya kepadanya, “ Ayah, tidakkah ayah sedar bahawa ekonomi meleset akan tiba?”
Ayahnya membalas, “Tidak. Beritahulah ayah mengenainya. “

Si anak berkata, “Situasi antarabangsa sudah teruk. Di dalam negara lagi teruk. Kita perlu membuat persediaan untuk berhadapan dengan masa kegawatan kelak.”

Lelaki itu mulai berfikir. Disebabkan anak lelakinya lepasan universiti, membaca surat khabar, mendengar radio serta menonton televisyen, maka dia pasti tahu dan nasihatnya tidak boleh diambil remeh.

Jadi keesokan harinya, si ayah mengurangkan pesanan dagingnya dan roti. Dia juga tidak lagi menyajikan banyak pilihan untuk pelanggan. Dia juga tidak lagi mempamerkan keceriaan serta minat yang mendalam terhadap perniagaannya seperti sebelum ini kerana jangkaan kemerosotan ekonomi yang dinyatakan itu.

Malah memandangkan bisnes bakal terjejas dan penjualan akan jadi meleset, dia memikirkan tidak perlu lagi papan tanda.

Justeru, papan tanda itu ditanggalkan. Pembantu sementaranya juga diberhentikan.
Sememangnya tepat sekali jangkaan si anak yang berpelajaran tinggi itu. Semakin hari semakin kurang pelanggan ke gerai bapanya. Pelanggan tetap pun mula mencari gerai lain untuk memenuhi keperluan mereka. Malah masa perniagaan juga dipendekkan. Ternyata sekali, bilangan orang untuk singgah ke gerai tersebut semakin menurun. Hasil penjualannya jatuh merundum.

Si ayah yang terlalu percaya akan kata – kata anak yang berpelajaran tinggi itu pun berkata kepada anak lelakinya, “Anakku, kamu benar. Sekarang ini, kita berada di tengah zaman kemelesetan. Ayah sangat bersyukur kerana kamu telah memberi amaran sebelum masanya tiba.”

Adakalanya, tidak mengetahui apa – apa berita dan maklumat adalah jauh lebih baik daripada memperoleh dan mempercayai maklumat tertentu. Sementara perniagaannya selama ini cukup maju dan bagus, ia mula terjejas kerana mempercayai akan tafsiran anak yang kononnya berpelajaran tinggi.

Tidak kiralah sama ada maklumat tersebut datangnya daripada orang yang berpelajaran tinggi, berpengalaman dan sebagainya. Kita kena lebih berhati – hati dalam membuat sebarang tafsiran ke atas perkara yang ‘bakal berlaku’.