Konsep dan Definisi Zuhud yang Sebenar

zuhud

Bila mendengar perkataan zuhud kebiasaannya kita beranggapan orang zuhud itu miskin, tidak berharta, tidak mengejar dunia, ulang alik ke masjid, tidak memandang dunia, dan seumpamanya. Betul ke itu ZUHUD ?

Orang yang berpaling meninggalkan cinta dunia kepada cinta akhirat disebut sebagai orang yang zuhud terhadap dunia. Sebab, pada setiap jiwa manusia itu sesungguhnya telah tertanam secara naluri perihal kecintaannya terhadap perkara-perkara duniawi. Sedangkan di akhirat kelak, itu jauh lebih baik dari dunia sekarang ini.

Zuhud terhadap dunia itu bukanlah mengharamkan apa yang halal dan mensia-siakan harta. Tetapi Zuhud terhadap dunia ialah kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di tanganmu… (Riwayat al-Tirmizi)

Imam Ibn Juzay:
Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan ( pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta. Kemungkinan seorang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong daripada dunia. Dan berkemungkinan orang fakir itu ialah orang yang bersifat duniawi apabila hantinya amat berkehendakkan dunia. Tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia.”

Imam Sufyan bin ‘Uyainah:
“Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang, seseorang itu tidak terlalu bersedih. Dan tatkala ia bertambah, ia tidak pula gembira dan tidak merasa bencikan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya.”

Imam al-Qarafi:
“Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu dalam tangan. Tetapi ia adalah tidak bergembiranya hati dengan dunia walaupun ia jatuh ke dalam miliknya.”

Zuhud itu bukanlah tidak berharta tapi mengosongkan hati darinya. – Imam Malik

Maka kesimpulannya Zuhud itu ialah tidak merasakan ‘dunia ini aku yang punya’, tapi dia mengambil dunia dan memanfaatkan dunia ini sebagai bekalan menuju akhirat.Sekian.