Klinik Motivasi Terapi: Penyakit Obsesive Compulsive Disorder ( OCD )

Terapi minda klinik motivasi com
Salam Sejahtera..

Kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca blog klinik motivasi tentang sejenis penyakit OCD dalam bahasa saintifiknya atau dikenali penyakit was – was dalam kalangan masyarakat melayu nusantara. Artikel ini saya petik dan ubah suai daripada akhbar metro.

Saya pernah mandi selama empat jam, gunakan kertas pasir untuk membersihkan tangan yang terkena contengan pen dan solat semula di rumah kerana tak yakin dengan bacaan Imam ketika solat di masjid.
Demikian kata Talhah Daud yang kini berusia 44 tahun mengenai masalah was – was melampau dan kronik yang pernah dialami sehingga dua kali perkahwinannya gagal kerana kedua – dua bekas isteri tidak tahan dengan sikap peliknya.

Talhah berkata, selama 20 tahun dia menderita dengan masalah itu, malah ada yang menganggapnya orang gila sebelum pakar memberitahu dia sebenarnya menghidap penyakit Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD ).
Hasil kegigihannya ‘ berjuang ‘ untuk bebas daripada belenggu penyakit aneh itu, Talhah kini bukan saja pulih seperti sedia kala, malah bertukar kerjaya daripada kakitangan swasta kepada pakar motivasi yang mengkhusus dalam merawat penyakit OCD.

Selama 20 tahun hidup saya kucar – kacir. Saya menjadi terlalu sensitif dengan persekitaran sehingga gagal mengawal diri dan paling memeritkan apabila dua perkahwinan saya gagal.

Talhal berkata, gejala OCD mula dirasainya ketika berusia 23 tahun sebelum mengganggu seluruh hidupnya. Saya baru pulang daripada kerja ketika itu dan mahu mengambil wuduk untuk untuk solat Isyak. Tiba – tiba saya berasa wuduk tidak sah menyebabkan saya mengambilnya berulang kali.

Bermula daripada situ semua menjadi serba tidak kena. Saya mandi selama empat jam, selepas itu mandi semula di sungai kerana berasakan diri tidak bersih.

Talhah juga sering memeriksa pintu dikunci berulang kali setiap malam dan begitu juga solat kerana was – was sama ada ia sah atau tidak. Kalau berjalan di lantai berjubin, saya perlu memijak bahagian tengah, jika terpijak ‘sempadan’, saya undur ke belakang dan memperbetulkan langkah.
Ahli keluarga dan rakan yang tidak memahami apa yang berlaku kepadanya mula memandang serong da nada yang membawanya berjumpa dengan bomoh untuk dirawat.

Disebabkan tidak tahan dengan gangguan perasaan itu, dia pernah secara masuk ke wad pesakit mental di sebuah hospital secara sukarela. Doktor mengesahkan saya menghidap OCD dan meminta saya keluar daripada wad. Ketika itu, saya tidak faham apa itu OCD dan terus hidup dalam keadaan penuh gangguan.
Menurutnya, perasaan mahu berubah muncul dalam hidupnya pada 2008 selepas perkahwinan kedua berakhir dengan perceraian.

Ketika itu saya berkongsi masalah dengan seorang rakan dan dia memperkenalkan saya dengan Hukum Daya Tarik atau Law of Attraction iaitu kepentingan husnuzzon ( bersangka atau berfikir positif ).
Saya membuat beberapa kajian tambahan dan selama lapan bulan saya cuba mengamalkan gaya pemikiran positif. Alhamdullilah, saya akhirnya mampu mengatasi gangguan yang berlaku terhadap diri.
Kata Talhah, OCD ialah kerisauan atau was – was seseorang yang berlaku secara melampau sehingga menyebabkan kemurungan dan berisiko membuat penderitaan mahu membunuh diri.
Secara umum, dia menerangkan kategori OCD ialah ‘Washer’ (kecenderungan terhadap basuhan ) dan ‘Checkers’ (memeriksa kunci, suis dan tombol pintu berulang kali).

Satu lagi kategori pesakit OCD ialah ‘Geometri’atau ‘Diameter’ merujuk kepada mereka yang cerewet melampau terhadap susunan barangan dan kekemasan serta mesti mengikut laras geometri atau prosedur standard pesakit itu sendiri, selain muncul lintasan kata – kata negatif di hati secara tiba – tiba.
Masalahnya kebanyakan tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sakit dan menganggap apa dilakukan itu adalah wajar dan perlu, hingga melukakan orang tersayang.

Menginsafi penderitaan yang pernah dilaluinya, kini Talhah membantu individu yang menghidap OCD dan setakat ini kira – kira 30 orang sudah mendapatkan bantuannya.
Perkara paling utama sekali ialah individu itu mesti sedar dia menghidap OCD, jika dia tidak mahu mengakui atau merasakan dirinya betul, memang sukar untuk berubah.
Terdapat beberapa teknik yang perlu pesakit lakukan dalam tempoh masa tertentu seperti ‘pengesahan’ iaitu proses dilakukan selepas doa terhadap sesuatu permintaan.
Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapat maklumat boleh melayari blognya, husnuzzan-loa.blogspot.com

Simptom Penghidap OCB
• Was – was
• Melakukan perkara berulang – ulang
• Kerap memeriksa sesuatu
• Sindrom Tourette ( gagal mengawal gerak tubuh atau percakapan )

Kesan Buruk
• Kemurangan
• Insommia.
• Hilang minat terhadap banyak perkara
• Sensitif, mudah terasa dan cepat marah
• Mengasingkan diri
• Ada niat membunuh diri ( jika tahap kritikal )

Punca OCB
Kajian mendapati OCD berpunca daripada masalah komunikasi antara bahagian depan otak dengan struktur dalaman otak. Struktur otak ini menggunakan neurotransmiter ( isyarat kimia ) dipanggil serotonim. Masalah berlaku apabila wujud ketidakseimbangan serotonin.