Kaya Tidak Semestinya Berjaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Kaya Bukan Berjaya. Ramai suka jadi kaya. Kaya yang dimaksudkan ialah kekayaan harta. Kalau kaya untuk sapu pada roti tu, alhamdulillah, ramai yang mampu.

Kaya pada saya hanyalah hasil. Ia bukan penanda aras yang patut kita gunakan untuk menyatakan seseorang itu telah berjaya. Lebih kaya lebih berjaya, lebih miskin lebih gagal, tidak dan sesekali tidak.

Ada orang menjadi kaya sebab dia kuat songlap. Apakah dia berjaya?

Ada orang menjadi kaya dengan tipu diri ada PhD(padahal PhD beli) atau tipu kata dia seorang doktor medikal(padahal beli dari universiti bogus), untuk memanipulasi kepercayaan orang ramai, adakah dia berjaya?

Ada orang menjadi kaya dengan menindas orang lain, adakah dia berjaya?

Ada orang menjadi kaya dengan melakukan scam, adakah dia berjaya?

Ada orang menjadi kaya sebab suka buat perkara haram, tayang keingkaran kepada Allah(contoh, kaya dengan tayang aset badan), berjayakah dia?

Kerana itu, jika kita lihat di dalam Islam, kekayaan tidak pernah diletakkan sebagai makna kejayaan. Bahkan yang dipesan di dalam Islam untuk kekayaan ini ialah berjaga-jaga. Contohnya Islam tegas mengingatkan bahawa Allah memerangi riba, melaknat mereka yang menipu timbangan, dan berulang kali diingatkan bahawa harta itu boleh menjadi fitnah. Orang kaya di dalam Islam dianjurkan memberi lebih banyak dalam bentuk zakat dan sedekah, untuk mengikis rasa cinta yang keterlaluan kepada hartanya.

Islam tidak mengharamkan kekayaan. Tinggal Islam tidak memposisikan kekayaan sebagai satu kejayaan. Lebih kaya bermakna lebih berjaya, tidak ada di dalam Islam.

Allah SWT mendefinisikan kejayaan dengan jelas di dalam Al-Quran:

“Barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Itu sepatutnya definisi kejayaan kita. Mengapa?

Mudah. Apabila itu menjadi definisi kejayaan kita, itu yang kita kejari, maka apabila kita bergerak memperkasa ekonomi kita contohnya, kita tidak akan mengambil jalan-jalan yang haram.

Kita tidak akan menipu, kita tidak akan buat scam, kita tidak akan overclaim, kita tidak akan ambil yang bukan hak kita, kita tidak akan aniaya orang dan kita tidak akan menggunakan jalan-jalan keingkaran yang lain.

Kita pun tahu, Allah tak boleh ditipu, dirasuah, di’trick’, diugut untuk berikan kita syurga.

Pilihan yang ada hanyalah tunduk dan patuh. Apabila kita berjaya dimasukkan ke dalam syurga, diselamatkan dari neraka, itulah tandanya kita telah berjaya mendapatkan keredhaan Allah SWT! Itulah kejayaan hakiki.

Kita akan jauhi semua perkara yang jahat dan buruk tadi, sebab itu semua akan menganggu matlamat besar kejayaan yang kita kejari. Kita lebih rela sikit duit, asalkan jujur dan bersih, halal dan diredhai Ilahi!

Inilah pentingnya kita betulkan mentaliti kita. Kaya bukan berjaya. Kaya hanyalah hasil. Yang boleh kita dapatkan melalui jalan yang halal atau jalan yang haram. Sekiranya kita dah set dalam minda kita bahawa kaya itulah berjaya, kita akan sanggup buat apa sahaja, halal ke, haram ke, asalkan kaya. Sebab kita percaya, dengan jadi kaya sahajalah kita akan dikatakan berjaya.

Ini membenihkan korupsi dan kerosakan.

Orang-orang inilah bila dah kaya, bongkak dan takabbur, hatta kepada Tuhan. Tidak kisah hidup tak patuh kepada syariat, seronok menayang-nayang kemungkaran, tapi kemudian suka juga pesan pada orang agar jangan judge mereka, iman dia hanya Allah yang tahu, bla-bla-bla, dan macam-macam lagi alasan.

Ini bukan orang-orang yang berjaya.

Ini orang-orang gagal. Mereka gagal dan demikianlah orang-orang yang menyokong mereka, menjadi fanatik kepada mereka.

Muhasabah.

– Hilal Asyraf(Official) –

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The following two tabs change content below.
Klinik Motivasi adalah medium perkongsian ilmu berkaitan dunia 'motivasi' kepada masyarakat.

Latest posts by Editor Klinik Motivasi (see all)