Isu Berubah. Masalah Akar Tetap Sama


Isu sentiasa berubah. Hari ini panas isu lain. Esok masyarakat beralih ke isu lain. Namun hakikatnya masalah akarnya masih sama.

Satu masa dahulu kita digemparkan remaja perempuan kita rela membiarkan dirinya dipeluk artis korea di atas pentas, tidak lama sebelum itu tersiar di akhbar remaja perempuan kita seronok dipeluk Justin Bieber, hari ini kita ditayangkan dengan isu-isu seperti Alif Syukri dan Sajat, seperti isu belia muslimah kita berkabung untuk artis korea.

Isu berubah-ubah. Tetapi hakikatnya masalah akar tetap sama.

Itulah dia kehilangan pemahaman dan disiplin sebagai Muslim di dalam hidup.

Kehilangan ini kadang bukan disengajakan oleh empunya badan. Tetapi disengajakan oleh masyarakat secara kolektif. Maka perlahan-lahan disiplin ini rapuh dan meroboh, kemudian mudah dilunturkan daripada peribadi-peribadi.

Saya pernah bangkitkan beberapa kali betapa sebenarnya kita sebagai masyarakat punya tanggungjawab kolektif untuk membentuk suasana yang lebih baik.

Proses kehilangan disiplin sebagai Muslim ini telah berjalan perlahan-lahan. Ini bukan konspirasi illuminati atau freemason. Tetapi ini ialah apa yang berlaku.

Antara yang terbesar ialah pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan kita yang tidak berjaya dijadikan asas utama. Islam sekadar menjadi mata pelajaran yang pemahamannya sekadar diukur dengan kejayaan ujian dan peperiksaan.

Seterusnya media massa dan ikon-ikon masyarakat, yang Muslim & Muslimah, tidak membantu dalam memperkukuhkan fahaman Islam dan disiplinnya yang benar. Islam hanya diangkat bila market boleh buat duit. Era tudung menjadi trend fesyen, maka watak utama drama pukul 7 pun pakai tudung walaupun artisnya hidup tidak kisah fasal tanggungjawab diri sebagai muslimah untuk menutup aurat. Televisyen yang menganjurkan rancangan bertemakan Islamik pada satu sesi dan masa, pada masa yang lain stesen televisyen yang sama menyiarkan apa yang tidak selari dengan rancangan-rancangan Islamik tadi.

Ini mengelirukan masyarakat awam. Tambahan, apa yang saya nyatakan di awal tadi, sistem pendidikan negara kita tidak memperkukuhkan fahaman Islam sebagai cara hidup. Apa yang media massa lakukan, artis dan selebriti muslim muslimah kita tunjuk pula, akhirnya menjadi ‘guru’ kepada masyarakat akan apa itu Islam.

Tetapi akhirnya, apabila kerosakan berlaku, kita mula bermain tuding jari. Salahkan ibu bapa. Salahkan guru. Padahal kita maklum, bukan semua ibu bapa di negara ini ada masa untuk anak-anak. Wujud ramai ibu bapa yang bergadang pagi petang siang malam sekadar mencari sesuap rezeki. Guru-guru? Pelajar lagi ramai dari guru. Pasti akan ada yang tercicir.

Sistem pendidikan pula tidak menyokong ke arah tujuan ini.

Media massa, tokoh, ikon, selebriti, artis, yang merupakan benteng terakhir masyarakat pula gagal menjadi benteng. Bahkan mereka pula menjadi ‘duta’ kepada keruntuhan yang berlaku.

Jadi tak hairan kita akan menemui Muslim, Muslimah yang berkelakuan pelik dan aneh. Bahkan tidak rasa janggal dan bersalah. Mereka fikir mereka betul. Kenapa? Sebab itulah yang mereka nampak pun sehari-harian.

Cuba tengok drama melayu popular kita. Apa bezanya debgan drama korea dari sisi syara’? Tak ada beza kan sebenarnya?

Apa beza kebanyakan artis Muslim Muslimah kita di Malaysia ni dengan artis Hollywood atau Korea? Tak ada beza banyak pun kan?

Islam tidak berjaya diangkat di dalam media kita. Kita hanya kembali Islam apabila ada musibah dan kematian atau keraian tertentu. Ketika itu baru Al-Fatihah akan dibaca dan diulang-ulang. Ketika itu baru pandai nak bertudung dan berpakaian sopan.

Belum sentuh bab pemimpin-pemimpin yang mempergunakan Islam sebagai retorik political mileage masing-masing, tapi sikap dan gaya hidup sendiri tidak mampu menjadi cerminan seorang Muslim yang berdisiplin.

Dan ini telah berjalan sepanjang hari, 7 hari seminggu, 12 bulan setahun, dan bertahun-tahun di dalam masyarakat kita.

Kenapa kena hairan apabila ada generasi muda yang mula bertindak di luar batasan syariat? Bahkan terlibat dengan fikiran-fikiran ‘bebas’ yang katanya tersasar dari landasan Islam?

Kita sendiri telah meracuni masyarakat kita. Setiap hari. Bukan freemason, bukan yahudi, bukan illuminati.

Inilah masyarakat yang kita sebenarnya pupuk. Dan sekarang kita telah sampai pula ke era dunia tanpa sempadan. Media kini tiada batasan dengan internet. Lagi pelbagai perkra boleh diakses dengan amat mudah. Zaman dulu punya internet kalau nak akses pun lembab, kena duduk pula depan komputer. Zaman sekarang internet makin laju, boleh akses pakai telefon di tangan sahaja pula. Dan di internet ada MACAM-MACAM.

Boleh bayangkan tak masyarakat kita, terutama generasi muda, yang telah diracuni SETIAP HARI, yang kelunturan pemahaman dan disiplin sebagai Muslim, apabila terdedah dengan itu semua?

Sudah pasti masalah menjadi semakin rencam. Isu makin pelbagai. Akhirnya kita lihat sendiri di media sosial. Setiap hari ada isu baru. Namun hampir semuanya berakarkan masalah yang sama.

Kehilangan kefahaman dan disiplin sebagai Muslim.

Saya cakap ni bukan apa. Semasa saya menemani anak-anak saya yang masih kecil (4 tahun ke bawah semuanya) bermain di taman permainan, sering ada sekumpulan remaja(dari umur sekolah rendah sampai menengah).

Mulut mereka tak habis-habis keluar ayat “Bodoh”, “B*bi”, “P**ima*” semasa bermain bola. Itu belum kita tengok perawakan mereka. Dengan rambut berwarna, dengan yang hisap rokok bertenggek atas motor lepas main.

Saya terfikir, betapa dengan hanya membawa anak saya bermain di taman permainan itu, setiap hari, mungkin sampai masanya nanti, saya akan mendengar ucapan yang sama daripada anak-anak saya sendiri.

Paling kurang, saya jangka saya akan dapat soalan: “Kenapa orang di padang boleh buat pulak?”

Situasi di padang permainan itu mengingatkan saya yang saya ada ahli keluarga yang dahulunya kaki mencarut juga. Mak bapakkah ajar? Gurukah ajar? Tidak. Ummi Abah dan guru-guru kami bukan kaki mencarut. Tapi masyarakat di padang permainan yang ajar. Alhamdulillah hasil usaha keras tarbiyah Ummi Abah dan guru-guru, mendidiknya kefahaman Islam dan disiplin yang perlu ada sebagaibseorang Muslim, dia sudah tidak lagi bersikap sedemikian.

Samalah jika direnungkan macam kita, masyarakat secara kolektifnya, di dalam kehidupan, di tempat kerja, di media massa, televisyen, radio, internet, dari marhain sampai ke artis/selebriti, pemimpin-pemimpin, mengajar dan mempengaruhi masyarakat kebanyakan dengan menunjukkan satu cara hidup, satu gaya menjalani kehidupan, yang sangat berlawanan dan bertembung dengan ajaran, prinsip, dan disiplin yang terdapat di dalam Islam selama ini.

Hasilmya? Apa yang kita lihat sekarang.

Sekadar coretan untuk renungan bersama.

Esok lusa isu lain lagi. Orang ulas lagi. Hakikatnya, masalah akar yang tetap serupa.

Hilang kefahaman dan disiplin hidup sebagai Muslim. Hendak menyelesaikan masalah-masalah ini, kita kena kembali memperbaiki masalah akar. Dan ya, secara kolektif juga.

Apakah kita mahu bertanggungjawab dan berperanan atas kemampuan dan kapasiti masing-masing?

Muhasabah.

Hilal Asyraf Official