Berniaga cara Rasulullah Mengutamakan keberkatan daripada keuntungan

Usahawan
Tidak lagi dianggap pilihan terakhir bagi golongan yang sukar menerima pekerjaan, menceburi bidang perniagaan kini semakin popular dalam kalangan masyarakat bukan sahaja bagi yang kurang dalam pencapaian akademik malah daripada pelbagai golongan.

Sehinggakan berniaga turut dilakukan oleh mereka yang telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai menjana pendapatan sambilan, berikutan pulangan serta peluang memperoleh keuntungan yang memberangsangkan.

Tanpa kekuatan ekonomi, Islam juga akan dipandang rendah oleh masyarakat bukan Islam secara tidak langsung menjauhkan mereka kepada Islam.

Terbukti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperoleh) melalui perniagaan.” Bidang perniagaan ternyata merupakan ibu segala rezeki yang menjanjikan pendapatan yang tidak terhad kepada orang yang berniaga.

Namun realitinya, dalam mengejar sumber lubuk pendapatan itu kadangkala telah menutup pintu hati individu yang terlibat dalam urusan berjual beli itu sehingga sanggup melakukan apa sahaja dengan alasan ingin mengaut keuntungan tanpa mengira soal halal dan haram.

Perkara yang asalnya dituntut dan menjadi sunah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu disalah guna sehingga menjadikannya pelbagai taktik kotor dan penipuan sebagai sumber untuk melariskan perniagaan.
Pakar fikah kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, walaupun mudah diketahui secara teori, namun cabaran yang berlaku pada dunia realiti sangat menguji keimanan seseorang peniaga untuk mengamalkan perniagaan secara patuh syariah.

Justeru, tambahnya, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada ahli perniagaan yang amanah dalam menjalankan perniagaan dan benar-benar mematuhi tuntutan syariat sebagaimana golongan mujahidin yang syahid dalam peperangan.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah, (akan berada di dalam syurga) bersama para nabi, siddiqin dan para syuhada.”

Bagaimanapun sebaliknya beliau berkata, orang yang melakukan dosa dalam perniagaan akan menerima dosa yang sangat berat sehingga dilaknat oleh Allah SWT dan tidak menerima syafaat daripada Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak.

“Bukan sahaja cabaran dalam aspek saingan, tetapi menceburi bidang perniagaan mempunyai dugaan yang lebih besar iaitu menggalas amanah untuk menjalankan urusan jual beli mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh syariah. Walaupun pada asasnya dilihat mudah, tetapi sangat sukar apabila berdepan dengan situasi sebenar.

“Namun, bagi mereka yang meletakkan kedudukan perniagaan pada kedudukan yang salah dengan mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan syariah seperti melakukan riba, diibaratkan mereka ini menganggap seperti Allah SWT itu adalah musuh mereka.

“Oleh itu, hilang segala keberkatan dalam perniagaan golongan itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja, Ciri Bisnes Model Rasulullah SAW pada seminar Pelaburan Hartanah dan Kemahiran Bisnes, baru-baru ini.Program sehari itu turut membawakan jutawan hartanah, Azizi Ali dan perunding motivasi terkemuka, Dr. Azizan Osman.

BERNIAGA SAMA SEPERTI BERDAKWAH

Selain menjanjikan keuntungan, Zaharuddin berkata, menjalankan perniagaan sendiri dapat mengelakkan seseorang daripada melakukan dosa kecil secara luar sedar, di samping dapat mendekatkan hati kepada Allah SWT secara tidak langsung.

“Kelebihan menjalankan perniagaan sendiri adalah dapat mengurangkan syubhah (keraguan) terutamanya dalam urusan kecil. Sebagai contoh, menggunakan barang kemudahan pejabat untuk kepentingan sendiri atau mencuri masa untuk kegunaan peribadi.

“Berniaga sendiri dapat mengelakkan daripada melakukan salah laku perkara kecil ini yang dikhuatiri mencemarkan pendapatan menjadi haram. Ini kerana segala kelengkapan dan masa bertugas itu adalah untuk diri kita sendiri jika mempunyai perniagaan sendiri.

Mempamerkan kelebihan dan kelainan tersendiri untuk menarik minat khalayak mendapatkan produk jualan, menjalankan urus niaga boleh dikaitkan seperti menyebarkan dakwah.

Zaharuddin berkata, pelbagai pendekatan yang digunakan dalam usaha menarik pengguna mempunyai konsep yang sama dalam menyampaikan dakwah kepada orang ramai untuk mengenali Islam.

“Sama seperti memasarkan produk dalam perniagaan, berdakwah juga memerlukan cara yang sama dalam memasarkan keunggulan dan keagungan Islam supaya diterima orang ramai.

“Selain itu, Islam turut menggalakkan umatnya untuk berniaga bagi memperkukuh ekonomi Islam dan menyaingi perolehan dalam ekonomi orang kafir yang menjalankan perniagaan tanpa panduan serta batasan.

Sumber: Utusan Online