Berkahwin Kerana Sebiji Epal

kerana biji epal
Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan – jalan di tepi sebatang sungai di pinggiran kota. Niat di hatinya ingin meminum sedikit air dari sungai tersebut bagi menghilangkan dahaganya. Sedang dia mencedok air itu dengan tangannya kelihatan pula sebiji epal yang terjatuh lalu hanyut di hadapannya. Melihat epal yang merah ranum itu membuat Tsabit terliur lalu segera diambil dan dimakannya.

Setelah separuh buah itu dimakannya, tiba – tiba Tsabit terhenti dan seolah – olah terfikirkan sesuatu. Hatinya lantas berkata: “ Ya Allah, buah epal siapa agaknya yang aku makan ini. Sepatutnya aku meminta izin terlebih dahulu daripada tuannya sebelum aku memakannya.”

Tsabit lalu segera menelusuri sungai tersebut bagi mencari sendiri tuan punya buah itu. Pada fikiranya sudah tentulah pokok epal itu tumbuh di tepi sungai dimana dia perolehi. Di pertengahan jalan dia berjumpa dengan seorang lelaki tua lalu bertanya: “ Wahai pak cik, kenalkah pak cik dengan sesiapa yang mempunyai kebun atau pohon epal di sekitar kawasan ini ?”

Orang tua itu lalu menjawab: “ Ya.. ada seorang lelaki yang sangat alim di kampung ini yang mempunyai pokok epal. Tetapi rumahnya masih jauh di hujung kampung. Kalau hendak ke sana sekurang – kurangnya sehari semalam perjalanan.”

Tsabit bertekad akan pergi juga menemui si pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu: “ Tidak mengapa. Saya akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Saya telah memakan buah epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin dari pemiliknya. Rasullullah sudah bersabda bahawa barangsiapa yang tubuhnya tumbuh dari makanan yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka. Terima kasih pakcik.”

Setelah menempuh perjalanan yang panjang, akhirnya Tsabit sampai juga ke rumah pemilik kebun itu. Sebaik sahaja tiba dia segera memberi salam serta mengetuk pintu rumah tersebut.

Tidak lama kemudian setelah si pemilik rumah membukakan pintu, Tsabit langsung menyampaikan hajat kedatangannya: Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur memakan separuh dari buah epal yang terjatuh dari kebun tuan. Saya berharap agar tuan menghalalkan apa yang sudah saya makan itu ?”
Lelaki tua yang alim itu terdiam sambil mengamati Tsabit dengan penuh tanda tanya. Tanpa disangka dia berkata: “ Tidak, aku tidak akan menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.”

Tsabit yang berasa khuatir dengan penjelasan lelaki itu segera bertanya: “ Apakah syarat itu tuan?” Lelaki alim itu menjawab: “Engkau mesti mengahwini puteriku!”

Keputusan yang dibuat oleh lelaki itu menyebabkan Tsabit bertambah – tambah bingung. Dia lantas bertanya: “ Apakah kerana saya memakan separuh buah epalmu yang jatuh dan hanyut dari kebunmu, saya harus pula mengahwini puterimu ?”

Lelaki itu pantas menjawab: “ Ya.. jika tidak aku tidak akan menghalal-kannya. Seperkara lagi iaitu untuk pengetahuanmu bahawa anakku mempunyai beberapa kecacatan. Anakku itu seorang yang buta, bisu dan pekak. Dia juga seorang yang lumpuh!”

Tsabit amat terkejut mendengarkan keterangan si pemilik kebun itu. Di dalam hatinya berkata: “Apakah patut aku mendapat hukuman yang sebegini rupa hanya kerana memakan epal yang tidak dihalalkan kepadaku?”
Kemudian pemilik kebun itu berkata lagi: “Jika segala syarat tadi tidak dapat engkau penuhi, aku tidak akan menghalalkan apa yang telah engkau makan.”

Walaupun hatinya berat, Tsabit terpaksa juga menerima syarat tersebut kerana memikirkan dosanya memakan buah yang bukan miliknya. Jika syarat yang berat itu dapat menghapuskan dosanya dia sanggup menerima apa sahaja hukuman sebagaimana yang ditetapkan.

Dengan suara yang lemah Tsabit berkata: “Baiklah tuan, saya menerima apajua syarat yang dikenakan ke atasku. Semoga dosaku akan diampunkan Allah.”

Maka berkahwinlah Tsabit dengan anak perempuan lelaki alim tersebut. Setelah upacara akad nikah selesai, Tsabit dipersilakan masuk untuk menemui isterinya. Sewaktu Tsabit hendak masuk ke kamar pengantin, dia tetap mengucapkan salam walaupun dia tahu isterinya itu seorang yang bisu, pekak dan buta.
Dengan tidak disangka – sangka sama sekali wanita yang ada di hadapannya dan kini telah menjadi isterinya itu menjawab salamnya dengan baik. Ketika Tsabit menghampiri wanita itu, dia menghulurkan tangannya untuk menyentuh tangan isterinya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana isterinya yang disangkakan lumpuh itu sebaliknya menyambut huluran tangannya.

Tsabit yang terkejut itu lantas berkata di dalam hatinya: “ Bagaimana ayahnya berkata isterinyaku ini seorang yang pekak dan bisu tetapi dia mendengar salamku dan menyambut salamku dengan baik. Ini bererti isteriku ini seorang yang dapat mendengar dan tidak pula bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia dapat melihat tanganku dan menyambut kedatanganku dengan mesra pula. Sungguh aku tidak faham apakah maksud kata – kata ayah mertuaku itu.”

Tsabit langsung duduk di samping isterinya lalu bertanya: “ Wahai isteriku. Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta sedangkan engkau nampak. Mengapa?” Wanita itu kemudian berkata: “Kata ayahku itu benar, aku buta kerana aku tidak pernah melihat apa – apa yang diharamkan oleh Allah.”
Tsabit bertanya lagi: “ Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau pekak sedangkan engkau boleh mendengar, mengapa?” Wanita itu lalu menjawab: “ Ayahku berkata aku pekak kerana aku tidak pernah mendengar berita dan cerita daripada orang – orang yang berbuat maksiat kepada Allah.”

“ Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku seorang yang bisu dan lumpuh, bukan?” Tanya wanita itu sebelum sempat suaminya bertanya. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya.
Wanita itu berkata: “ Aku dikatakan bisu kerana dalam banyak perkara aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut dan berzikir kepada Allah semata – mata. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah melangkah ke tempat – tempat yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah.”

Setelah mendengarkan penerangan daripada isterinya itu Tsabit berasa amat gembira. Ini kerana dia telah mendapat seorang isteri yang ternyata amat salehah dan amat memelihara maruah dirinya. Ditambah pula dengan wajahnya yang amat cantik itu menyebabkan Tsabit merasa amat bertuah kerana berjaya memperolehi seorang wanita yang lengkap segala – galanya.

Rupa- rupanya buah epal yang dihanyutkan air itu adalah perancangan dari lelaki alim itu untuk mencari bakal menantunya. Dia tahu sesiapa sahaja yang sanggup untuk meminta halal setelah memakan buah itu sudah tentulah seorang yang amat mementingkan agama dan mempunyai keperibadian yang tinggi.

Bukan setakat itu sahaja, sesiapa yang tidak sanggup menerima syarat yang dikenakan juga bukanlah seorang mukmin yang sejati. Tsabit bin Ibrahim akhirnya menepati ciri – ciri yang dikehendakinya sesuai untuk anaknya yang salehah dan cantik itu. Hiduplah Tsabit bersama isterinya dalam penuh kebahagiaan dan rahmat dari Allah.