Aku Pasti Akan Berjaya

Salam Sejahtera…

Untuk berfikiran positif dalam mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan, saudara perlu mengamalkan ungkapan seperti ‘Dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya’. Hal ini walaupun nampak seperti perkara yang remeh tetapi dengan menukarkan  ungkapan tersebut akan membawa perubahan yang besar dalam diri anda. Contohnya saudara menggantikan kata-kata yang tidak mempunyai pendirian seperti “Sudah cuba tetapi tidak berjaya.” dengan ungkapan “dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya”.

Lazimnya individu yang gagal adalah dalam kalangan mereka yang cepat putus asa. Mereka akan sentiasa mengulangi perkataan “sudah cuba tetapi gagal” kerana kata-kata sedemikian dijadikan sebagai “pendiding” untuk mengaburi mata orang lain bahawa kesalahan dan kegagalan tersebut bukanlah secara mutlaknya disebabkan oleh mereka. Mereka ini seolah-olah ingin menagih simpati daripada orang lain bahawa segala usaha telah dibuat tetapi mereka tetap gagal yang mana menunjukkan bahawa faktor kegagalanlah yang menyebabkan mereka kecundang.

Jelaslah bahawa orang yang gagal ini telah membuntukan fikiran dengan tidak mahu lagi mencari jalan untuk menangani masalah tersebut. Sepatutnya mereka mengubah kepada perkataan yang lebih positif yang boleh membangkitkan usaha untuk mencapai apa yang diimpikan iaitu ‘Dengan sedikit usaha lagi, aku pasti berjaya”. Hal ini bermakna seseorang perlu berusaha lebih bagi memastikan apa yang dihajati akan tercapai. Dalam istilah orang berjaya, mereka tidak cepat mengalah kerana mereka sentiasa mengenal pasti bahawa ada jalan lain yang boleh membantu mereka dalam menghadapi rintangan.

Sekian sahaja untuk kali ini…