Ahli Ibadah dan Ahli Maksiat

ahli-maksiat-dan-ahli-ibadah
Pada zaman dahulu ada dua orang sahabat karib yang mendiami sebuah rumah. Walaupun mereka berdua berkawan baik, peribadi keduanya amatlah berbeza. Seorang daripadanya amat kuat beribadat kepada Allah manakala seorang lagi pula suka pula melakukan maksiat kepada Allah.

Lelaki ahli ibadat tinggal di tingkat atas rumah tersebut manakala lelaki maksiat pula tinggal di tingkat bawah. Apabila kedua – duanya bertemu, lelaki ahli ibadat berkata kepada lelaki ahli maksiat: “Wahai sahabatku, bilakah lagi engkau mahu bertaubat, ingatlah umur kita semakin hari semakin tua. Mati tidak mengira masa sahabatku. Marilah naik ke tingkat atas untuk bersama – sama beribadat bersamaku.”
Sambil di tangannya memegang secawan arak, lelaki ahli maksiat pula membalas: ‘Usia kita masih muda wahai sahabatku. Waktu muda inilah kita sepatutnya menikmati semua kesenangan dan kenikmatan dunia. Apabila kita tua nanti kita bertaubatlah. Alangkah ruginya kita membiarkan masa muda kita berlalu begitu sahaja tanpa berhibur. Marilah turun ke bawah wahai sahabatku untuk bersama – sama menikmati nikmat dunia.

Begitulah mereka berdua masing – masing saling mengajak kepada kebenaran dan kebatilan. Mereka tidak berputus asa untuk mengajak salah seorang daripada mereka untuk berubah.
Pada suatu hari, lelaki ahli ibadat yang berada di tingkat telah termakan dengan kata – kata dari sahabatnya itu. Hatinya yang di resapi syaitan itu berkata:

“Hmm.. betul juga apa yang diperkatakan oleh sahabatku itu. Umurku masih muda, waktu inilah aku mahu menikmati hiburan dan syurga dunia. Jika aku sudah tua dan tidak bertenaga nanti tentu semuanya ini tidak berguna lagi. Baik aku gunakan masa mudaku ini untuk berhibur dan bersukaria seperti kawanku itu. Apabila tua nanti aku bertaubatlah. Baik aku turun ke bawah sekarang untuk berhibur bersama – sama kawanku.”

Pada waktu yang sama juga lelaki ahli maksiat juga memikirkan kata – kata kawannya. Hatinya yang di resapi dengan cahaya keinsafan berkata: “ Hmm.. betul juga kata – kata sahabatku itu. Sampai bila aku harus hidup dalam kemaksiatan begini. Aku tidak tahu bila ajalku akan sampai. Jika esok aku mati, apa bekalan yang akan aku bawa ke alam barzah nanti. Baik aku segera bertaubat sebelum terlambat. Baik aku naik ke tingkat atas untuk sama – sama beribadat dengan sahabatku itu.”

Serentak dengan itu lelaki ahli ibadat turun dari tangga dengan tergesa – gesa untuk melakukan maksiat dan lelaki ahli maksiat pula tergesa – gesa menaiki tangga untuk ke tingkat atas bagi melakukan ibadat.
Apabila tiba sahaja pertengahan tangga kedua – dua lelaki itu telah terlanggar di antara satu sama lain. Mereka berdua tidak dapat mengimbangkan diri lalu terjatuh ke lantai. Takdir Allah kedua – duanya jatuh menimpa di antara satu sama lain dan meninggal dunia. Maka datanglah malaikat rahmat dan malaikat azab untuk mengambil roh mereka masing – masing.

Malaikat rahmat lalu mengambil roh lelaki ahli maksiat manakala malaikat azab pula mengambil roh lelaki ahli ibadat. Ini kerana di saat kematian keduanya, ahli maksiat sesungguhnya telah bertaubat dan ingin untuk berubah menjadi seorang ahli ibadat manakala lelaki ahli ibadat pula berubah untuk menjadi seorang ahli maksiat. Sesungguh balasan baik dan buruk yang mereka berdua perolehi adalah semasa di penghujung hayat mereka.

Jangan kita bangga dengan banyaknya ibadah yang telah kita lakukan dan janganlah kita mencela pelaku kemaksiatan, kerana kita semua tidak tahu bila dan bagaimana akhir kehidupan kita di dunia ini.

Dari Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda: Demi Allah yg tidak ada sesembahan yang haq selain Dia, sesungguhnya ada seorang di antara kalian yang beramal dengan amalan penghuni syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dengan syurga kecuali sehasta saja, namun ketetapan Allah mendahuluinya, sehingga ia beramal dengan amalan penghuni neraka, maka ia pun masuk neraka. Dan ada seseorang diantara kalian yang beramal dengan amalan penghuni neraka, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dengan neraka kecuali sehasta saja, namun ketetapan Allah mendahuluinya, sehingga ia beramal dengan amalan penghuni surga, maka ia pun masuk surga. (HR. Bukhari dan Muslim)