5 Tip Mudah Untuk Berfikiran Positif

berfikir positif

Dalam pada itu, di sini saya ingin berkongsi dengan anda 5 tip mudah untuk membina fikiran yang positif:

1.       Membaca Buku

Tip pertama untuk membina pemikiran yang positif adalah dengan membaca buku. Buku yang dimaksudkan di sini adalah buku yang berbentuk motivasi dan juga buku mengenai bidang yang kita ingin berjaya itu. Sebagai contoh, jika kita ingin menjadi seorang yang berjaya di dalam pelaburan hartanah, maka kita perlu sentiasa mencari buku-buku yang berkaitan dengan pelaburan hartanah yang boleh kita baca dengan tujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita mengenai bidang tersebut. Selain itu, buku-buku motivasi am yang akan membakar semangat kita untuk terus berjaya juga amatlah sesuai untuk kita baca. Elakkan daripada membaca buku-buku yang berbentuk hiburan atau tidak berkaitan dengan bidang yang kita minat itu.

2.       Kurangkan Menonton Televisyen

Tip ini pernah saya dengar sebelum ini daripada Mentor Jutawan – Azizi Ali dan ianya dikuatkan lagi apabila disebut oleh Dr. Ibrahim semasa seminar beliau ini. Individu yang ingin berjaya perlu mengurangkan masa dirinya menonton televisyen. Sebenarnya menonton televisyen terutama sekali apabila kita menonton rancangan hiburan adalah tidak membantu sama sekali kepada kita untuk berjaya. Oleh itu, elakkanlah daripada menonton rancangan televisyen yang tidak memberikan manfaat kepada kita.

3.       Kurangkan Membaca Suratkhabar

Sama seperti televisyen, membaca suratkhabar juga merupakan satu aktiviti yang tidak baik kerana ia mampu menghakis fikiran positif kita. Selalunya kandungan suratkhabar harian merangkumi kes-kes jenayah, maksiat, hiburan dan pelbagai kandungan lain yang tidak sesuai untuk memupuk fikiran yang positif. Oleh kerana itu, jika kita sentiasa menghabiskan masa untuk membaca suratkhabar lebih-lebih lagi jika kita memang merupakan seorang pembaca suratkhabar yang setia pada setiap hari, maka lambat laun segala anasir negatif yang dipaparkan di dalam suratkhabar yang kita baca akan terpaut di dalam hati dan minda bawah sedar (sub-conscious mind) kita. Dengan ini, ia akan menjadikan kita seorang yang berfikiran negatif dan akan sentiasa mencipta alasan untuk tidak berjaya.

4.       Mendengar Audio

Salah satu cara mudah untuk memupuk fikiran positif di dalam diri kita adalah dengan mendengar audio-audio yang berbentuk motivasi. Kita boleh mendapatkan audio-audio yang berbentuk motivasi atau pengetahuan melalui internet atau di kedai-kedai buku yang utama. Kini terdapat pelbagai bentuk audio di pasaran seperti di dalam format CD dan juga mp3. Buat pengetahuan anda, di antara perkara paling awal yang telah saya lakukan semasa baru mula menjejak kaki di dalam dunia bisnes  adalah dengan mendengar audio-audio motivasi. Saya selalu mendengarnya semasa menaiki kereta, semasa pergi berjogging dan semasa membuat kerja di komputer. Alhamdulillah segala motivasi dan pengetahuan positif yang telah saya perolehi melalui paparan audio tersebut telah membolehkan saya untuk mencapai kejayaan di dalam bisnes  sehingga kini.

5.       Bergaul Dengan Individu Positif

Di antara perkara paling sukar untuk kita lakukan adalah untuk bergaul dengan rakan-rakan atau keluarga kita yang berfikiran positif. Terus terang saya katakan sebahagian besar daripada individu yang berada di sekeliling kita sama akan rakan atau ahli keluarga akan banyak melemparkan unsur-unsur negatif kepada kita sama ada kita sedari atau tidak sedari. Cuba anda fikirkan pergaulan anda dengan mereka sehingga kini. Saya yakin pasti ada tanggapan negatif yang telah mereka berikan kepada anda sebelum ini. Sebaik-baiknya kita menjauhi individu yang mempunyai tanggapan negatif dan berusaha meluangkan lebih banyak masa bersama individu yang mempunyai fikiran yang positif dan yang mahukan kejayaan kita.

Itulah 5 tip yang saya pasti akan dapat membantu anda untuk menjadi seorang individu yang lebih berfikiran positif dan seterusnya boleh merangsang usaha anda untuk mencapai kejayaan di dalam bisnes anda.

Diedit dan Diubahsuai : jejakusahawaninternet.com