5 Tip Kawal Kewangan

Klinik Motivasi Kewangan
Tip – tip di bawah yang penulis ambil dari artikel yang disiarkan oleh media arus perdana yang ditulis oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur.

Tip – tip ini tidak akan berkesan jika anda tidak mengamalkannya dan terus boros berbelanja dan gagal mendisplinkan diri untuk berbelanja mengikut nafsu. Bagi membantu anda menjimatkan belanja dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat setiap hari, disarankan:

Kurangkan Makan Di Luar

Tip ini sememangnya terbukti berkesan kerana kos belanja makan di luar terutama di kawasan Kuala Lumpur adalah amat tinggi sehingga 3 kali kos menyediakan makan sendiri di rumah adalah lebih baik jika anda makan dahulu di rumah sebelum keluar.

Membawa bekal ke pejabat juga salah satu cara untuk anda mengurangkan makan di luar dan boleh menjimatkan banyak perbelanjaan makan kita sebulan serta memberikan lebihan wang yang anda ada sehingga hujung bulan.

Catat Perbelanjaan

Catat perbelanjaan harian anda, berapa duit masuk, berapa duit keluar. Kaedah ini boleh memberikan anda maklumat untuk mengawal trend perbelanjaan harian. Cara ini juga membantu anda mengkaji trend perbelanjaan dan menghalang pembaziran. Hari ini anda belanja, malamnya kita buat rumusan dan perhitungan, di waktu itu anda dapat mengenalpasti tabiat perbelanjaan yang buruk dan mengubahnya.

Menyimpan

Ramai yang tidak sedar sebenarnya kebanyakan kita menggunakan kaedah yang salah dalam pengurusan kewanngan dengan menganggap bahawa simpanan itu sebenarnya lebihan wang setelah menolakkan perbelanjaan daripada pendapatan.

Cara ini menyebabkan anda meletakkan simpanan itu berada di keutamaan yang paling belakang. Anda perlu ubah cara berfikir dalam mengurus kewangan supaya kita tidak dibelenggu dan dijerut dengan masalah kewangan yang tidak berkesudahan.

Perkara yang pertama anda perlu buat apabila bila mendapat gaji atau pendapatan lebih ialah menetapkan satu jumlah daripadanya sebagai simpanan. Saranan yang popular ialah 10% manakala orang Jepun mengamalkan menyimpan 20% dari pendapatan.

Pastikan kita menyimpan di dalam institusi kewangan yang menyebabkan kita susah untuk mengeluarkan duit sebagai contoh Tabung Haji. Walaupun sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada banyak tapi kadang – kadang.

Jaga Harta Benda

Ramai antara kita lupa bahawa membaik pulih sesebuah peralatan terutamanya yang sering dan menjadi keperluan untuk kita gunakan akan menyusutkan pendapatan dan simpanan kita.
Oleh itu amat penting bagi kita untuk sentiasa menjaga dengan baik dan mengadakan penyelenggaraan berkala terhadap setiap barangan yang dimiliki terutamanya kenderaan.

Jika kita menggunakan dengan cara yang kasar seperti memandu laju mungkin akan mengakibatkan kemalangan dan paling tidak, tayar kereta akan cepat habis termasuk komponen kereta yang lain seperti brek, kesan pada enjin dan sebagainya dan pastinya anda sendiri sedar bahawa kos baik pulih kenderaan tiada yang kurang daripada RM 100.

Kurangkan Penggunaan Kad Kredit

Penggunaan kad kredit boleh menyebabkan anda berbelanja tanpa had kerana selesa dengan hakikat bahawa kad kredit ada had limit maksima dan kita masih boleh berbelanja selagi tidak mencapai tahap itu.
Namun, sedar atau tidak, perkara itu juga menyebabkan kita alpa dalam berbelanja sehinggakan berlebihan. Apa mahu risau kita sentiasa sahaja boleh bayar setiap bulan, sangka kita. Tetapi jika anda teliti dengan lebih mendalam, anda telah menyebabkan sejumlah besar pendapatan anda hanya untuk membayar hutang dengan perfikiran demikian.